Seramai 312 imam, khatib, pendakwah dan guru al-Quran dilaporkan syahid manakala lebih 1,000 masjid rosak atau musnah sepenuhnya sepanjang perang genosid yang berterusan di Semenanjung Gaza, menurut data rasmi Palestin.
Daripada kira-kira 1,275 masjid di seluruh Gaza, sebahagian besar dilaporkan musnah sepenuhnya manakala yang lain tidak lagi sesuai digunakan untuk menunaikan solat susulan serangan berterusan Israel yang menyasarkan kawasan penempatan serta infrastruktur awam.
Dalam suasana kemusnahan itu, penduduk Gaza tetap menyambut ketibaan Ramadan tahun ini dengan penuh ketabahan apabila solat Tarawih didirikan di kawasan terbuka di atas runtuhan bangunan atau di dalam struktur sementara diperbuat daripada kayu dan ditutup dengan kain.
Laungan takbir bergema dari khemah-khemah yang didirikan di atas sisa runtuhan masjid, menggantikan ruang ibadah yang sebelum ini menjadi pusat komuniti dan tempat perhimpunan penduduk setempat.
Penduduk setempat turut meluahkan rasa kehilangan terhadap imam dan khatib yang sebelum ini memimpin solat Tarawih serta qiyamullail Ramadan, menyifatkan suasana tahun ini berbeza sama sekali berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun berdepan kehilangan besar dan kemusnahan meluas, Ramadan tetap disambut sebagai bulan yang membawa kekuatan rohani, dengan orang ramai terus berhimpun untuk beribadah dan berdoa di tengah-tengah kehancuran akibat peperangan. – Dunia Palestin