Meshaal: Selagi wujud penjajahan, maka akan wujud muqawamah

Ketua Hamas di Luar Negara, Khaled Meshaal menegaskan bahawa muqawamah akan terus wujud selagi penjajahan Israel ke atas bumi Palestin masih berterusan, sambil menekankan bahawa bentuknya boleh berubah mengikut realiti dan fasa semasa.

Berucap dalam Forum Al Jazeera baru-baru ini, Meshaal berkata dalam isu Palestin terdapat prinsip yang bersifat tetap dan juga unsur yang berubah-ubah, namun hakikat kewujudan muqawamah terhadap penjajahan merupakan satu ketetapan sejarah dan politik yang tidak boleh dipisahkan.

“Selagi ada penjajahan, maka akan ada muqawamah. Yang berubah hanyalah bentuknya, sama ada melalui revolusi, intifadah, penentangan bersenjata atau pendekatan lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Hamas, bersama rakan-rakan perjuangannya dalam arena Palestin, sedang berusaha membentuk pendekatan dan gerakan politik berlandaskan visi nasional bersama bagi mencari penyelesaian praktikal terhadap cabaran utama yang dihadapi rakyat Palestin.

Menurut Meshaal, usaha itu bertujuan mewujudkan realiti baharu yang mampu mengembalikan Gaza kepada keadaan normal, selain meneroka pendekatan serupa bagi Tebing Barat yang turut berdepan tekanan dan pencerobohan berterusan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran mengenai ancaman Zionis yang disifatkannya bukan sahaja menyasarkan Palestin, malah mengancam kewujudan umat Arab dan Islam secara keseluruhan.

“Ini adalah peperangan yang tidak seimbang. Justeru, kita memerlukan strategi perlindungan bersama, kerjasama kolektif serta penentuan kedudukan yang lebih berkesan di peringkat global,” katanya.

Meshaal turut menekankan keperluan mempergiat usaha diplomatik dan politik antarabangsa bagi mendedahkan Israel sebagai entiti yang terasing dan menjadi beban kepada keselamatan serta kestabilan dunia, selari dengan usaha menghakis legitimasi antarabangsa rejim tersebut sebagaimana yang pernah berlaku terhadap sistem aparteid di Afrika Selatan.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa masalah utama terletak pada keupayaan Hamas atau kumpulan muqawamah di Gaza, sebaliknya menegaskan bahawa punca sebenar adalah tindakan Israel yang cuba melucutkan senjata Palestin dan menyerahkannya kepada kumpulan militia bagi mencetuskan kekacauan dalaman. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Gencatan senjata di Gaza tiada makna selagi Israel membunuh

Next Post

Abu Ubaidah: Tanah suci kami tidak akan terima bangkai pengkhianat

Related Posts