Jurucakap al-Qassam, Abu Ubaidah mengecam keras tindakan keji ejen-ejen penyamar yang mengkhianati rakyat Palestin dengan bersubahat bersama penjajah Zionis untuk melaksanakan agenda jahat mereka.
Dalam satu kenyataan di Telegram, Abu Ubaidah menegaskan golongan berkenaan hanya berani bertindak di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Zionis dan perlindungan kereta kebal mereka.
Beliau menyifatkan perbuatan mengkhianati rakyat awam serta menyerang pejuang muqawamah yang dilemahkan oleh kelaparan dan kepungan sebagai bukan satu bentuk kejantanan, sebaliknya adalah cubaan terdesak untuk membuktikan kewujudan diri mereka.
Abu Ubaidah turut memberi amaran bahawa nasib golongan pengkhianat itu semakin hampir, sambil menegaskan bahawa balasan terhadap mereka adalah kematian dan lenyap secara pasti.
Menurutnya, musuh tidak akan mampu melindungi ejen-ejen berkenaan daripada keadilan rakyat Palestin, dan mereka juga tidak akan menemui tanah suci di Palestin yang sudi menerima “bangkai busuk” mereka untuk dikuburkan.
Dalam kenyataan sama, Abu Ubaidah menyampaikan penghormatan kepada wira-wira muqawamah yang terkepung di terowong Rafah, yang menolak kehinaan dan penyerahan, serta memilih kesyahidan berbanding menyerah diri.
Beliau berkata kisah perjuangan mereka akan terus diajarkan kepada generasi akan datang dan nama-nama mereka akan terukir dalam lembaran kegemilangan sejarah Palestin. – Dunia Palestin