Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam, pada Selasa mendedahkan bahawa mereka telah berjaya mematahkan serangan darat oleh tentera Israel di beberapa lokasi di Semenanjung Gaza untuk hari ke-424 berturut-turut.
Menurut laporan media ketenteraan Al-Qassam, pejuang mereka terus menggunakan pelbagai taktik serangan, termasuk bom buatan sendiri, peluru berpandu anti-kereta kebal, serta mortar, dalam usaha untuk menyekat kemaraan pasukan tentera Israel di lokasi-lokasi strategik di Gaza.
Satu klip video yang didedahkan pada Selasa memperlihatkan serangan “Kedua” yang dilancarkan pejuang Al-Qassam pada 23 November lalu, berdekatan kawasan persimpangan Burj Awad di Rafah, selatan Gaza.
Serangan itu dinamakan “Kemenangan untuk Darah Sinwar” sebagai penghormatan kepada pemimpin Hamas yang terkorban.
Klip tersebut menunjukkan detik serangan terhadap pasukan Israel menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal Yasin 105, termasuk ke atas sebuah jentera kejuruteraan dan sebuah jentolak milik tentera Israel.
Dalam pertempuran itu, pejuang turut menyerang rumah yang dijadikan kubu perlindungan oleh tentera musuh.
Rakaman video itu turut memaparkan helikopter Israel digunakan untuk membawa keluar askar-askar yang terkorban dan cedera dari medan pertempuran. – Dunia Palestin