Pejuang Hamas pada Isnin memaklumkan seramai 33 tahanan di Gaza terbunuh selepas hampir 14 bulan peperangan antara kumpulan pejuang Palestin dan Israel di wilayah berkenaan, tanpa menyatakan kewarganegaraan mereka.
Pejuang Hamas turut memaklumkan bahawa beberapa tebusan lain hilang.
“Dalam perang gila yang berterusan ini, anda boleh kehilangan tahanan anda selamanya. Lakukan apa yang anda perlu lakukan sebelum terlambat,” kata pejuang Islam itu dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Israel.
Tidak lama selepas itu, pejuang Hamas menerbitkan satu video yang dikatakan memperincikan bila dan bagaimana tahanan-tahanan itu terbunuh, menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas nasib mereka.
Bagaimanapun tentera Israel tidak memberi komen segera berhubung perkara ini dan serangan tentera Israel diteruskan di Gaza.
Pejuang Hamas menyeru supaya perang dihentikan dan penarikan sepenuhnya Israel dari Gaza sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian untuk melepaskan tahanan yang tinggal.
Sementara itu, Netanyahu berkata perang ini akan diteruskan sehingga pejuang Hamas dibinasakan dan tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.
Israel melancarkan perang selepas pejuang yang dipimpin pejuang Hamas menyerang komuniti Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menculik lebih daripada 250 tebusan, menurut angka Israel.
Serangan tentera Israel membunuh lebih daripada 44,400 rakyat Palestin dan memindahkan sebahagian besar penduduk Gaza, kata pegawai Gaza. Kawasan luas di wilayah itu kini dalam runtuhan. – Berita Harian