Hamas, Fatah sepakat tubuh jawatankuasa urus Gaza pasca perang

Penduduk Palestin yang dipindahkan berlindung di sebuah sekolah di Khan Younis di selatan Gaza. – Foto REUTERS

Hamas dan kumpulan saingan mereka di Palestin, Fatah bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk bersama-sama mengurus Gaza selepas perang, menurut perunding daripada kedua-dua pihak hari ini.

Di bawah pelan berkenaan yang memerlukan kelulusan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, jawatankuasa itu akan terdiri daripada 10 hingga 15 tokoh bebas yang mempunyai kuasa dalam hal berkaitan ekonomi, pendidikan, kesihatan, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula, menurut draf cadangan yang dilihat oleh AFP.

Selepas rundingan di Kaherah yang disemak oleh Mesir, kedua-dua pihak yang bermusuhan itu bersetuju bahawa jawatankuasa terbabit akan menguruskan sempadan Rafah di pihak Palestin iaitu satu-satunya pintu sempadan Gaza yang tidak dikongsi dengan Israel.

Delegasi Fatah, yang diketuai oleh anggota jawatankuasa pusat parti, Azzam al-Ahmad, akan kembali ke Ramallah hari ini untuk mendapatkan kelulusan akhir Abbas, menurut perunding dari kedua-dua pihak kepada AFP.

Delegasi Hamas pula diketuai oleh anggota biro politiknya, Khalil al-Hayya.

Inisiatif berkenaan muncul di tengah-tengah usaha diplomatik yang diperbaharui untuk menamatkan perang di Gaza, yang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Usaha berkenaan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) bersama Mesir, Qatar dan Turkiye muncul hampir seminggu selepas gencatan senjata rapuh antara Israel dan kumpulan Hizbullah dikuatkuasakan di Lubnan.

Hamas dan Fatah telah lama bermusuhan sejak pejuang Hamas mengusir Fatah dari Gaza selepas pertempuran maut yang menyusuli kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya 2006.

Hamas menguasai Gaza sejak 2007, manakala Fatah mengawal sebahagian Pentadbiran Palestin dan mempunyai kawalan pentadbiran separa di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Ketika pentadbiran Presiden AS Joe Biden bersiap sedia untuk menyerahkan kuasa pada Januari kepada presiden yang baru dipilih, Donald Trump, rakyat Palestin menghadapi tekanan hebat dari AS untuk memastikan Hamas tidak mempunyai peranan di Gaza selepas perang berakhir.

Kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menjadikan pemusnahan Hamas di Gaza sebagai antara objektif utama perang.

Ia juga telah berulang kali menyuarakan bantahan keras terhadap mana-mana peranan pentadbiran Palestin di Gaza selepas perang.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza mengakibatkan 44,466 terbunuh yang kebanyakannya adalah orang awam, menurut data kementerian kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kesatuan Ulama Islam Sedunia seru sokongan untuk Gaza, pemulihan Lubnan

Next Post

Briged Al-Qassam mematahkan serangan darat Israel di Gaza

Related Posts