Kumpulan perubatan dan hak asasi manusia pada Selasa menggesa pembukaan segera koridor kemanusiaan dari Gaza untuk membolehkan pemindahan segera pesakit ke hospital di timur Baitulmaqdis.
Israel mengawal semua laluan keluar masuk dari Semenanjung Gaza yang dilanda perang sejak lebih setahun antara Israel dan pejuang Hamas.
Pemindahan perubatan yang jarang dilakukan itu disarankan oleh pertubuhan antarabangsa atau negara asing dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa Israel.
Namun, ketika angka korban terus meningkat, Rangkaian Hospital Baitulmaqdis Timur dan Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) menggesa pembukaan segera laluan dari Gaza ke koridor perubatan Baitulmaqdis timur.
Usaha itu perlu dilakukan selepas dianggarkan kira-kira 25,000 pesakit di Gaza kini memerlukan rawatan segera.
Pengarah Hospital Augusta Victoria di timur Baitulmaqdis, Fadi Atrash, berkata pembukaan semula koridor pemindahan penting untuk membolehkan pihaknya terus menyediakan rawatan penting di hospital di sana.
Usaha itu perlu dilakukan selepas dianggarkan kira-kira 25,000 pesakit di Gaza kini memerlukan rawatan segera.
Pengarah Hospital Augusta Victoria di timur Baitulmaqdis, Fadi Atrash, berkata pembukaan semula koridor pemindahan penting untuk membolehkan pihaknya terus menyediakan rawatan penting di hospital di sana.
“Di sana, kami mempunyai ruang dan kepakaran perubatan,” katanya.
Sebelum perang, pesakit di Gaza memerlukan rawatan perubatan yang tidak tersedia di wilayah itu boleh dipindahkan ke hospital di Baitulmaqdis timur yang dikawal Israel atau Tebing Barat yang diduduki selain beberapa kes dibawa ke hospital lain di Israel.
Bagaimanapun, sejak perang Gaza meletus tahun lalu, pemindahan pesakit itu tidak lagi dilakukan.
Ketika pemindahan luar biasa kira-kira 200 pesakit dari Gaza pada awal November, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kira-kira 14,000 orang sedang menunggu pemindahan perubatan.
Beberapa hari kemudian, Doctors Without Borders (MSF) memberitahu pihak berkuasa Israel menyekat tanpa penjelasan pemindahan perubatan lapan kanak-kanak dan penjaga mereka dari Gaza, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang perlu dipindahkan ke Hospital MSF di Jordan.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan ini,” katanya.
Pada Selasa, 31 pesakit dan penjaga meninggalkan Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom antara Gaza dan Israel, menurut agensi Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal sivil di wilayah Palestin, COGAT.
Agensi itu menambah, pesakit akan dipindahkan ke Jordan dan Amerika Syarikat (AS) untuk rawatan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam ciapan di X menyatakan 31 orang itu terdiri daripada 11 kanak-kanak menghidap kanser yang menunggu rawatan serta 20 penjaganya.
“Beribu-ribu pesakit di seluruh Gaza masih memerlukan pemindahan perubatan untuk menyelamatkan nyawa mereka. Kami menggesa semua koridor selamat di luar Semenanjung Gaza digunakan untuk pemindahan pesakit,” katanya.
Lebih 105,000 orang cedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, menurut angka dari Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sistem penjagaan kesihatan di Gaza sebahagian besarnya sudah musnah akibat perang, dengan hanya beberapa saja kemudahan perubatan masih tersedia. – Berita Harian