Ketua Hamas di Luar Negara, Khaled Meshaal menegaskan bahawa Israel meneruskan peperangan di Gaza bukan untuk tekanan rundingan, sebaliknya bagi membalas dendam atas kejadian 7 Oktober dan melaksanakan agenda pengusiran penduduk Palestin.
Beliau berkata demikian dalam satu seminar maya anjuran al-Ittilaf al-‘Alami li Nusrat al-Quds wa Filastin pada Khamis, yang dihadiri sekitar 400 peserta dari pelbagai negara. Perbincangan menumpukan kepada proses rundingan damai di Qatar, punca serangan baharu di Gaza serta kesannya terhadap kestabilan rantau ini.
Pelanggaran Perjanjian dan Pengusiran Sistematik
Meshaal mendedahkan bahawa Israel telah melanggar perjanjian fasa pertama gencatan senjata dengan tidak memulakan rundingan fasa kedua seperti yang dijanjikan. “Rejim Zionis hanya mahu mendapatkan kembali tahanannya tanpa menghentikan perang, sekali gus menjadikan Gaza tidak lagi layak dihuni,” katanya.
Beliau turut mengutuk serangan udara Israel pada Selasa lalu yang menyasarkan pemimpin Hamas bersama ahli keluarga mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak. “Sebahagian keluarga pemimpin syahid dalam serangan ini,” katanya.
Penolakan Hamas terhadap Rancangan AS
Mengulas cadangan perunding AS, Steve Wietkoff, untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata selama 50 hari, Meshaal berkata Hamas menolaknya kerana ia hanya strategi Israel untuk memulihkan kedudukan tenteranya tanpa memenuhi tuntutan rundingan.
“Israel mahu berbincang tentang masa depan Gaza setelah memastikan kami kehilangan senjata tawar-menawar, iaitu tahanan Israel,” jelasnya.
Bagaimanapun, Hamas bersedia menerima pelan tersebut jika ia merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan tentera Israel dari Gaza, serta akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.
Amaran Ketidakstabilan Serantau
Meshaal turut memberi amaran bahawa perang di Gaza boleh merebak ke negara-negara jiran, termasuk Jordan, Lubnan, Syria, Mesir, Iraq, Yaman, Iran dan Turki. “Amerika Syarikat terus menyokong hegemoni Israel di rantau ini, walaupun ada perbezaan pendapat, ia hanya bersifat taktikal,” katanya.
Beliau menyeru dunia Islam agar bertindak lebih tegas menolak agenda pengusiran rakyat Palestin. “Perjuangan untuk Gaza mesti diterjemahkan dalam tindakan nyata, bukan sekadar kecaman lisan,” ujarnya.
Meshaal turut menggesa kebangkitan demonstrasi berjuta-juta umat Islam bagi menekan komuniti antarabangsa serta peningkatan bantuan kewangan untuk rakyat Gaza. “Media Arab juga perlu memainkan peranan dalam menonjolkan naratif sebenar Palestin dan mendedahkan jenayah Israel secara berterusan,” katanya. – Dunia Palestin