Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengecam Israel dan Amerika Syarikat sebagai “binatang dari neraka” susulan tindakan mereka menindas rakyat Palestin di Gaza.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr. Mahathir menegaskan bahawa Israel tidak pernah menghormati perjanjian gencatan senjata dan hanya menghentikan serangan sementara untuk mendapatkan kebebasan tebusan mereka.
“Mereka tidak pernah berniat untuk menghentikan keganasan. Apa yang mereka lakukan hanyalah helah sementara. Mereka menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, dan bantuan kemanusiaan yang sepatutnya sampai kepada rakyat Gaza,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat sebagai entiti yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Selepas memperoleh tebusan mereka, binatang-binatang dari neraka ini kembali menyambung genosid. Mereka mahu membunuh semua rakyat Palestin di Gaza dan menakluk sepenuhnya wilayah itu,” tegasnya.
Dr. Mahathir turut mendakwa bahawa Israel dan Amerika mempunyai agenda tersirat untuk menjadikan Gaza sebagai pusat peranginan dengan mengorbankan rakyatnya.
“Dunia takut kepada Amerika, tetapi ia tidak boleh terus berdiam diri melihat dua juta penduduk Gaza dibunuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera menghantar pasukan pengaman bagi melindungi rakyat Gaza, walaupun langkah itu dijangka mendapat tentangan Israel dan sekutunya.
“Golongan ini mesti dihentikan dengan kekuatan. Itulah satu-satunya cara,” tegasnya. – Dunia Palestin