Pemimpin dunia mengalu-alukan gencatan senjata di Gaza

Selepas 15 bulan peperangan berlarutan, Hamas dan Israel akhirnya bersetuju melaksanakan perjanjian gencatan senjata.

Ia sekali gus menyaksikan kemungkinan operasi ketenteraan rejim Zionis yang mengorbankan lebih 46,000 rakyat Palestin itu bakal ditamatkan.

Kesepakatan dicapai selepas beberapa minggu rundingan di Doha itu, menjanjikan pembebasan puluhan tebusan ditahan Hamas sejak kumpulan itu melancarkan serangan ke atas Israel pada Oktober 2023, dibuat secara berperingkat.

Perkembangan itu juga mengundang maklum balas positif daripada masyarakat dan pemimpin antarabangsa, biarpun kesepakatan itu belum disahkan Israel.

Mengulas perkembangan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan sudah disepakati antara Hamas dan Israel.

“Pertempuran di Gaza akan berhenti dan tidak lama lagi tebusan akan pulang ke rumah bersama keluarga mereka,” katanya di Rumah Putih.

Sementara itu, Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump, menerusi entri di Truth Social, berterima kasih, selain mengakui perjanjian untuk tebusan di Asia Barat sudah dicapai dan mereka akan dibebaskan tidak lama lagi.

Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump. – Foto REUTERS

“Menerusi perjanjian ini, pasukan Keselamatan Negara melalui usaha Utusan Khas ke Asia Barat, Steve Witkof akan terus bekerjasama erat dengan Israel dan sekutu untuk memastikan Gaza tidak menjadi lokasi perlindungan pengganas sekali lagi,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. – Foto REUTERS

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pula bersedia menyokong pelaksanaan perjanjian itu dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan berterusan kepada ribuan rakyat Palestin yang terus menderita.

Bercakap kepada pemberita di Ankara, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata, perjanjian gencatan senjata itu adalah langkah penting untuk kestabilan rantau, selain menyatakan usaha Turkiye untuk penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin akan diteruskan.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani, pula menggesa supaya suasana tenang di Semenanjung Gaza ketika ini dikekalkan hingga perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan, Ahad ini.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani. – Foto AFP

Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, menerusi entri di X, menyambut baik perkembangan di Gaza itu dan menegaskan kepentingan bantuan kemanusiaan disalurkan segera ke wilayah itu.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan menegaskan keperluan mematuhi perjanjian itu, mengakhiri pencerobohan Israel ke atas Gaza serta penarikan sepenuhnya pasukan rejim Zionis dari wilayah berkenaan, Palestin dan Arab yang diduduki.

Ia turut menekankan kepentingan menangani punca asas konflik dan membolehkan rakyat Palestin memperolehi hak mereka, terutama penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed. – Foto REUTERS

Beliau menggesa agihan bantuan kemanusiaan segera dan berterusan diberi kepada golongan memerlukan dan membenarkan pemberiannya dibuat melalui semua saluran tanpa halangan demi mengakhiri keadaan kemanusiaan kritikal dihadapi orang awam selama lebih 15 tahun.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen, juga mengalu-alukan perjanjian itu dan berharap bantuan kemanusiaan dapat diberikan kepada orang awam di Gaza serta penyatuan semula tebusan dengan keluarga masing-masing,

“Ia membawa harapan kepada seluruh rantau, orang ramai menanggung penderitaan amat besar untuk tempoh terlalu lama. Israel-Hamas pihak perlu melaksanakan perjanjian ini sepenuhnya, sebagai langkah ke arah kestabilan berkekalan di rantau ini dan penyelesaian diplomatik bagi konflik ini,” katanya.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer. – Foto AFP

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, pula menyifatkan berita itu sudah lama dinantikan rakyat Palestin dan Israel, selepas pembunuhan tidak terhitung yang berlarutan beberapa bulan lalu.

“Bagi rakyat Palestin yang tidak bersalah, gencatan senjata ini mesti membenarkan lonjakan bagi bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk mengakhiri penderitaan di Gaza.

“Perhatian kemudian perlu beralih kepada kaedah memastikan masa depan lebih baik secara kekal untuk rakyat Palestin dan Israel, berlandaskan dua negara yang akan menjamin keselamatan dan kestabilan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, perjanjian itu disifatkan memberi kelegaan kepada tebusan, keluarga dan rakyat Gaza selepas terlalu lama konflik berkenaan berlarutan.

“Kita berharap gencatan senjata ini akan menghentikan pertempuran dan menandakan permulaan kedamaian berterusan. Belgium bersedia untuk membantu,” katanya.

Setiausaha Luar Jerman, Annalena Baerbock. – Foto REUTERS

Sementara itu, Setiausaha Luar Jerman, Annalena Baerbock, berharap tebusan akan dibebaskan dan pembunuhan di Gaza akan menemui pengakhiran, selain menegaskan semua pihak bertanggungjawab memastikan peluang berkenaan digunakan sepenuhnya.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Stoere, pula berkata institusi Palestin perlu diperkasa dan bersedia mengambil alih kawalan serta tanggungjawab sepenuhnya, termasuk di Gaza.

“Israel dan Palestin mesti menerima jaminan keselamatan boleh dipercayai dan penyelesaian ini mesti berakar umbi di peringkat rantau,” katanya. – Berita Harian

Penyokong Palestin meraikan pengumuman gencatan senjata di Berlin, Jerman. – Foto REUTERS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gencatan senjata di Gaza bermula Ahad

Next Post

Negara Arab mengalu-alukan gencatan senjata di Gaza

Related Posts