Gerakan Hamas menyifatkan runtuhan bangunan serta kematian penduduk di Gaza akibat cuaca buruk sebagai lanjutan kepada perang genosid yang dilancarkan Israel serta mencerminkan kegagalan sistem antarabangsa untuk memberikan bantuan yang berkesan kepada wilayah itu.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata kejadian runtuhan rumah yang sebelum ini dibedil semasa perang di Gaza akibat ribut dan hujan lebat mendedahkan skala krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Runtuhan berterusan rumah-rumah yang dibom sepanjang perang genosid di Gaza, serta kematian akibat daripadanya, mencerminkan besarnya bencana kemanusiaan akibat perang Zionis penjenayah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Qassem, kematian penduduk Gaza akibat khemah yang ditenggelami air, kesejukan melampau dan runtuhan bangunan membuktikan bahawa genosid masih berterusan, walaupun dengan kaedah yang berbeza.
Beliau menegaskan situasi itu menuntut tindakan serius daripada semua pihak bagi menghentikan genosid tersebut, termasuk memulakan segera proses pembinaan semula Gaza serta menyediakan kemudahan perlindungan yang bermaruah kepada penduduk.
Qassem turut menyatakan bahan perlindungan yang dibenarkan masuk ke Gaza, khususnya khemah, tidak memenuhi keperluan minimum perlindungan dan gagal melindungi penduduk daripada hujan serta cuaca sejuk, sebagaimana dibuktikan dengan insiden khemah yang ditenggelami air dan kematian akibat kesejukan. – Dunia Palestin