Pihak berkuasa Palestin gantung penyiaran Al Jazeera

Seorang pekerja rangkaian berita dan saluran TV berpangkalan di Qatar, Al-Jazeera, dilihat di pejabat saluran tersebut di baitulmaqdis. – Foto AFP

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengarahkan penggantungan penyiaran rangkaian Al Jazeera yang berpusat di Qatar di seluruh wilayah Palestin, dengan mendakwa rangkaian terbabit menyiarkan kandungan berbaur hasutan, lapor media rasmi.

“Jawatankuasa kementerian yang terdiri daripada Kementerian Budaya, dalam Negeri, dan Komunikasi sudah memutuskan untuk menggantung penyiaran dan membekukan semua aktiviti saluran satelit Al Jazeera serta pejabatnya di Palestin,” lapor agensi berita rasmi Wafa.

“Keputusan ini juga membabitkan pembekuan sementara kerja semua wartawan, pekerja, kru, dan saluran berkaitan sehingga status undang-undang mereka diperbetulkan ekoran pelanggaran yang dilakukan Al Jazeera terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di Palestin.

“Keputusan ini diambil sebagai tindak balas kepada keengganan Al Jazeera untuk menghentikan penyiaran kandungan yang menghasut dan laporan yang dicirikan oleh maklumat yang salah, provokasi, fitnah dan campur tangan dalam urusan dalaman Palestin menurut laporan itu.

Seorang pekerja Al Jazeera yang dihubungi oleh AFP mengesahkan bahawa pejabat rangkaian itu di Ramallah sudah menerima arahan penggantungan pada Rabu.

Saluran itu kemudiannya menyiarkan gambar yang menunjukkan pegawai keselamatan PA memasuki pejabat rangkaian itu di Ramallah dan menyerahkan arahan penggantungan, tetapi masih tiada reaksi daripada rangkaian itu terhadap tindakan pihak berkuasa Palestin.

Kumpulan pejuang Hamas mengecam keputusan untuk melarang operasi rangkaian terbabit.

“Keputusan ini selari dengan siri tindakan arbitrari yang diambil oleh pihak berkuasa PA untuk mengehadkan hak dan kebebasan awam, serta mengukuhkan cengkaman keselamatannya ke atas rakyat Palestin.

“Kami menggesa PA untuk segera membatalkan keputusan ini… adalah penting untuk memastikan kelangsungan liputan media yang mendedahkan penjajahan dan menyokong keteguhan rakyat kami,” kata pejuang Hamas dalam satu kenyataan.

Ketegangan antara rangkaian yang berpusat di Doha itu dengan gerakan Fatah yang dipimpin oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas saluran terbabit melaporkan pertempuran antara pasukan keselamatan Palestin dan pejuang lain di Jenin.

Pada akhir Disember lalu, saluran itu mengutuk apa yang dikatakan sebagai ‘kempen hasutan’ oleh Fatah terhadap rangkaian itu di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel tolak 140 permohonan PBB masuk ke Gaza

Next Post

Bekas Menteri Pertahanan Israel letak jawatan dari Parlimen

Related Posts