Israel bedil pasukan Palestin jaga trak bantuan, 37 maut, puluhan cedera

Beberapa lelaki berkawal di sisi lori yang membawa bantuan kemanusiaan ketika ia melalui jalan utama Salah al-Din di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza tengah. – Foto AFP

Serangan Israel terhadap pengawal keselamatan Palestin yang mengiringi penghantaran bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza meragut sekurang-kurangnya 37 nyawa dan mencederakan puluhan mangsa.

Petugas perubatan dan penduduk tempatan memaklumkan kepada agensi berita Reuters bahawa lebih 30 individu cedera, termasuk beberapa mangsa yang kini dalam keadaan kritikal.

Serangan pada Khamis itu menyasarkan pengawal keselamatan awam yang ditugaskan melindungi konvoi bantuan di bahagian selatan wilayah yang dilanda konflik tersebut.

Klip video yang dikongsi media tempatan Palestin di Gaza menunjukkan mangsa yang maut disusun di bilik mayat, dipercayai pengawal keselamatan konvoi bantuan yang disasarkan dalam serangan di barat Khan Younis.

Serangan itu adalah siri terkini tindakan tentera Israel terhadap pekerja bantuan kemanusiaan, konvoi, dan mereka yang berusaha memastikan bekalan makanan serta barangan penting masuk ke Gaza.

Gaza kini berdepan kekurangan makanan yang kritikal dan ancaman kebuluran, terutama di bahagian utara yang sedang dikepung dan menjadi medan operasi darat tentera Israel sejak beberapa minggu lalu.

Pada malam Ahad, sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ketika mereka beratur untuk membeli tepung di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Tentera Israel masih belum memberi komen mengenai serangan terbaharu terhadap pengawal keselamatan konvoi bantuan ini.

 Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiringi sebuah lori yang musnah ditembak oleh tentera Israel, di jalan utama Salah al-Din di luar Deir el-Balah, di tengah Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Pada masa sama, Al Jazeera melaporkan bahawa enam individu, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel di sebuah bangunan kediaman di barat Gaza pada awal pagi Khamis.

Sementara itu, jumlah kematian meningkat lebih 13 orang selepas rumah di kem pelarian Nuseirat, Gaza tengah, dibom Israel.

Serangan terhadap pengawal konvoi bantuan berlaku selepas Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), menghentikan penghantaran bantuan melalui lintasan utama masuk ke Gaza pada awal Disember.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, menyifatkan operasi bantuan menjadi ‘mustahil’ akibat kepungan berterusan, halangan pihak berkuasa Israel, keputusan politik untuk mengehadkan jumlah bantuan, dan ancaman keselamatan di laluan bantuan.

Lazzarini menggesa Israel memastikan bantuan dapat dihantar ke Gaza dan mengelakkan serangan terhadap pekerja kemanusiaan.

Beliau juga melaporkan bahawa pada Rabu, konvoi bantuan bersama PBB berjaya menyediakan bekalan makanan penting kepada 200,000 orang di bahagian selatan dan tengah Gaza setelah penghantaran bantuan disambung melalui lintasan Karem Abu Salem.

“Kami perlu meningkatkan sokongan kepada rakyat Gaza dan semua pihak mesti memastikan akses kemanusiaan yang selamat, tanpa halangan, dan tidak terganggu supaya bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” tulisnya di media sosial.

Bercakap kepada wartawan di New York selepas kembali dari Gaza, Xu Haoliang, Timbalan Pentadbir Program Pembangunan PBB, menggambarkan keadaan di Gaza sebagai sesuatu yang ‘tidak pernah dihadapi’ dalam kerjayanya.

“Saya pernah berada dalam banyak konflik dan bencana, tetapi saya tidak pernah melihat kemusnahan seperti yang saya lihat di Gaza,” katanya.

Xu juga menyatakan bahawa sekurang-kurangnya sejak sebulan lalu, tiada buah-buahan segar dan sayur-sayuran yang diimport ke Gaza. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pesakit di Hospital Indonesia di Gaza kelaparan

Next Post

Palestin sambut baik Ireland sertai kes genosid terhadap Israel di ICJ

Related Posts