Sejarawan terkemuka Britain-Israel, Avi Shlaim berkata berikutan genosid yang dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza, dia tidak lagi mempercayai fahaman Zionisme dan kini cenderung menyokong gerakan pejuang Palestin, Hamas.
Dalam artikel eksklusif yang diterbitkan akhbar Israel, Haaretz, pada 25 September 2025, Shlaim menegaskan bahawa rakyat Palestin sedang hidup di bawah penjajahan tentera paling lama dan paling kejam dalam sejarah moden, dan mereka mempunyai hak untuk menentang, termasuk melalui perjuangan bersenjata, terhadap kekuatan tentera Israel yang agresif.
Merujuk kepada Operasi Taufan al-Aqsa, Shaim menekankan bahawa para pejuang Palestin di Gaza, sekalipun berjaya menewaskan rejim Israel ketika itu, tidak akan melakukan jenayah perang. Dia menyifatkan operasi tersebut sebagai hasil daripada puluhan tahun penjajahan rejim Israel.
Shaim turut menegaskan bahawa rejim Israel adalah sebuah entiti penjajah berinstitusi yang melaksanakan sistem apartheid secara kejam, manakala kabinet Israel pada masa ini merupakan yang paling berhaluan kanan dan paling rasis dalam sejarahnya, dengan dasar jelas untuk melakukan pembersihan etnik.
Dia menambah bahawa apa yang mendorongnya menyemak semula pendiriannya terhadap Zionisme secara asas ialah “genosid baharu” yang sedang dilakukan penjajah di Gaza.
Sambil mengecam rejim Israel kerana menggunakan kebuluran sebagai senjata perang dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Semenanjung Gaza, Shaim mempersoalkan: jika ini bukan genosid, maka apa lagi? Katanya, selepas menyaksikan tindakan sistematik Israel di Gaza, dia tidak lagi ragu untuk menggunakan istilah itu. – IRNA/Dunia Palestin