Risiko peningkatan konflik semakin memuncak selepas Iran semalam, melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Israel.
Berikut adalah gambaran mengenai persenjataan kedua-dua negara ini yang dilaporkan saluran berita Al Jazeera hari ini.
Peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke Israel dilihat di bandar Nablus, Tebing Barat dengan menyerang bandar-bandar utama Israel menggunakan sekurang-kurangnya 180 peluru berpandu balistik.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyatakan bahawa peluru berpandu berkenaan dilancarkan sebagai tindak balas Tehran terhadap pembunuhan orang awam di Gaza dan terbaharu di Lubnan, oleh Israel termasuk serta pembunuhan pemimpin IRGC, Hamas dan Hezbullah.
IRGC menyatakan bahawa peluru berpandu berkenaan disasarkan kepada tiga pangkalan tentera di Tel Aviv.
Media kerajaan Iran mengatakan bahawa negara itu menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Fattah buat kali pertama, walaupun dakwaan ini tidak dapat disahkan secara bebas oleh Al Jazeera.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berjanji akan membalas serangan berkenaan menyatakan bahawa Iran telah “melakukan kesilapan besar” dan “akan membayarnya”.

Sekutunya, Amerika Syarikat (AS) pula menyatakan bahawa mereka akan membantu Israel menghalang serangan Iran, serta berjanji untuk menyokong bagi membalas tindakan Iran.
“Kami bangga dengan tindakan yang kami ambil bersama Israel untuk melindungi dan mempertahankan Israel. Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa akan ada akibat-akibat yang berat untuk serangan ini, dan kami akan bekerjasama dengan Israel untuk memastikan perkara itu berlaku,” kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, semalam.
Israel dan Iran – dua musuh lama yang selama berdekad-dekad terbabit dalam pertempuran proksi, semakin menuju ke arah konfrontasi.
Jusrteru, mari kita lihat keupayaan ketenteraan masing-masing, keupayaan serangan dan cara mereka mempertahankan wilayah mereka.

BILANGAN ASKAR
Jumlah Askar Menurut The Military Balance 2023, diterbitkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Iran mempunyai:
● 610,000 anggota aktif, termasuk 350,000 dalam tentera darat
● 190,000 dalam IRGC
● 18,000 dalam tentera laut
● 37,000 dalam tentera udara
● 15,000 dalam pertahanan udara.
Iran juga mempunyai tentera simpanan seramai 350,000. Perkhidmatan ketenteraan diwajibkan untuk lelaki Iran yang berumur 18 tahun ke atas, dengan beberapa pengecualian.
Bagaimana pula kekuatan tentera Israel.
● 169,500 anggota aktif, termasuk 126,000 dalam tentera darat
● 9,500 dalam tentera laut
● 34,000 dalam tentera udara.
Israel mempunyai tentera simpanan seramai 465,000. Israel mewajibkan perkhidmatan ketenteraan bagi kebanyakan lelaki dan wanita muda berumur 18 tahun ke atas, dengan pengecualian tertentu.
PERBELANJAAN TENTERA
Perbelanjaan Ketenteraan Menurut fakta yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada April 2024 menunjukkan:
Iran membelanjakan AS$10.3 bilion pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun 2022.
Israel membelanjakan AS$27.5 bilion pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 24 peratus daripada 2022 – sebahagiannya dipengaruhi oleh peperangan di Gaza selepas 7 Oktober.
KEKUATAN TENTERA DARAT
Bagi aset angkatan darat menurut The Military Balance 2023, Iran mempunyai:
● Lebih 10,513 kereta kebal
● Lebih 6,798 meriam artileri
● Lebih 640 pengangkut personal berperisai.
* 50 helikopter manakala IRGC 5 helikopter.
Israel mempunyai:
● Sekitar 400 kereta kebal
● 530 meriam artileri
● Lebih 1,190 pengangkut personal.
ANGKATAN UDARA
Menurut The Military Balance 2023, Iran mempunyai:
● 312 pesawat tempur dan IRGC 23
● 2 helikopter serang
Israel mempunyai:
● 345 pesawat tempur
● 43 helikopter serang
ANGKATAN LAUT
Menurut The Military Balance 2023, Iran mempunyai:
● 17 kapal selam taktikal
● 68 kapal peronda dan tempur pesisir,
● 7 korvet,
● 12 kapal pendarat
● 11 kapal pendaratan kecil
● 18 peralatan logistik dan sokongan.
Israel mempunyai:
● 5 kapal selam
● 49 kapal peronda dan tempur pesisir.

SISTEM PERTAHANAN UDARA
Menurut The Military Balance 2023, pertahanan udara Israel bergantung kepada sistem Iron Dome, yang dipercayai telah memintas sebahagian besar peluru berpandu Iran pada malam semalam.
Sistem ini dilengkapi dengan radar yang mengesan peluru berpandu yang datang, kelajuan serta arahnya.
Pusat kawalan kemudian mengira sama ada peluru berkenaan menimbulkan ancaman kepada bandar-bandar Israel.

Peluru yang tidak menimbulkan ancaman dibenarkan mendarat di kawasan kosong.
Jika ia berbahaya, unit pelancar akan melancarkan peluru berpandu untuk memusnahkannya.
Pelancar mengandungi 20 peluru berpandu pemintas. Terdapat 10 bateri Iron Dome di seluruh Israel.
Sistem lain pula memintas peluru berpandu jarak sederhana dan jauh, seperti David’s Sling dan Arrow System.
Iran pula pada Februari mengerahkan Azarakhsh, iaitu sistem pengesanan inframerah jarak pendek dan rendah-altitut, yang dilengkapi radar dan sistem elektro-optik untuk mengesan dan memintas sasaran.
Ia boleh dipasang pada kenderaan. Iran juga mempunyai pelbagai sistem pertahanan peluru berpandu darat-ke-udara, termasuk S-200, S-300 dan Bavar-373 buatan tempatan, serta sistem medium dan jarak pendek lain seperti Khordad-15 dan Tor-M1.
PELURU BERPANDU BALISTIK
Menurut Projek Pertahanan Peluru Berpandu CSIS, Iran mempunyai:
● Sekurang-kurangnya 12 jenis peluru berpandu balistik jarak sederhana dan pendek. Jarak peluru berpandu ini bermula daripada Tondar 69 (150km) sehingga Khorramshahr dan Sejjil (2,000km).
● Israel mempunyai sekurang-kurangnya empat jenis peluru berpandu balistik jarak pendek, sederhana dan pertengahan, seperti LORA (280km) dan Jericho-3 (4,800km hingga 6,500km).
Keupayaan Nuklear Israel dianggarkan mempunyai 90 kepala peledak nuklear, menurut Persatuan Kawalan Senjata yang berpangkalan di AS.
Iran tidak dipercayai memiliki senjata nuklear, tetapi ia mempunyai program nuklear yang maju serta mengendalikan beberapa fasiliti dan pusat penyelidikan nuklear. – Al Jazeera
