Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menyifatkannya sebagai ‘memalukan’, lapor Agensi Anadolu.
“Adalah sangat memalukan bahawa seorang penjenayah (Netanyahu), yang telah melakukan genosid di Palestin, boleh hadir di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini adalah satu pengkhianatan terhadap kenangan bayi, kanak-kanak, ibu, bapa, pegawai PBB, wartawan, dan ramai lagi yang dibunuh secara kejam,” kata Erdogan kepada pemberita pada Rabu di Turkish House di New York.
Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa Netanyahu berlepas ke New York pada awal Khamis dan dijangka berucap pada sesi ke-79 UNGA pada Jumaat, menurut media tempatan.
“UNGA sama ada akan melayan pembunuh (Netanyahu) seperti yang sepatutnya atau situasi memalukan ini akan tercatat dalam sejarah PBB sebagai satu titik hitam,” kata Erdogan.
Beliau turut menyatakan bahawa PBB berada dalam keadaan yang tidak mampu melaksanakan misinya bagi menghalang peperangan, tidak dapat melindungi pegawai-pegawainya sendiri, dan gagal menuntut Israel bertanggungjawab atas pembunuhan terbabit.
Erdogan juga menekankan bahawa PBB kehilangan fungsinya dan kini menjadi struktur yang mempertahankan sistem di mana “kekuatan adalah segalanya.”
Mengenai ucapannya di Perhimpunan Agung, Erdogan berkata beliau berkongsi pandangan mengenai isu-isu penting bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan global.
“Bagi isu Gaza, saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa sistem dan institusi antarabangsa yang ada sekarang telah gagal melaksanakan tanggungjawab utama mereka.
“Saya menegaskan bahawa manusia boleh hidup dalam dunia yang lebih adil jika suara golongan tertindas didengari,” katanya.
Erdogan turut mengadakan siri pertemuan dua hala di New York dengan pemimpin dunia seperti Canselor Jerman, Presiden Ukraine, Perdana Menteri Greece, dan Setiausaha Agung PBB.
Dalam pertemuan itu, Erdogan berkata perbincangan tertumpu kepada isu kerjasama dua hala dan pelbagai krisis di rantau ini, dengan penekanan khusus kepada situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.
Menekankan keperluan untuk meningkatkan bantuan kepada Palestin sebelum musim sejuk, beliau juga menggesa semua negara untuk memperhebatkan tekanan terhadap Israel.
“Israel menggunakan segala cara untuk menyebarkan api konflik di Gaza ke seluruh rantau, seperti yang telah kami ingatkan selama berbulan-bulan. Serangan ke atas Lubnan adalah contoh terbaharu.
“Lebih 600 warga Lubnan dibunuh dalam tempoh seminggu yang lalu.
“Selagi dunia terus berdiam diri dan negara-negara Barat meneruskan sokongan ketenteraan kepada pentadbiran Israel, pembunuhan beramai-ramai ini malangnya akan berterusan. Kami menekankan bahaya ini dalam perbincangan kami,” katanya.
Israel menyerang Lubnan sejak pagi Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 677 orang dan mencederakan lebih 2,500 yang lain, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.
Presiden Turkiye itu turut menyatakan beliau mengikuti proses pemindahan penduduk di selatan Lubnan.
“Ia benar-benar menyakitkan hati. Rantau kita sedang menghadapi keadaan yang sangat kejam dan dahsyat. Kita bercakap tentang Lubnan yang mempunyai populasi enam juta. Ke manakah rakyat ini akan melarikan diri?,” soalnya.
Sekitar 13,500 warga Syria meninggalkan Lubnan sejak serangan udara Israel bermula pada hari Isnin, kata Menteri Dalam Negeri Lubnan pada Khamis.
Beberapa negara turut menggesa rakyat mereka meninggalkan Lubnan dan menasihatkan supaya tidak melancong ke negara itu sehingga notis lanjut.
AS, EU, dan sembilan negara lain menyeru Israel dan Hizbullah pada Rabu untuk bersetuju dengan gencatan senjata selama 21 hari di tengah-tengah peningkatan peperangan rentas sempadan.
Netanyahu, bagaimanapun menafikan laporan media bahawa beliau bersetuju dengan gencatan senjata yang dicadangkan, dan menyatakan bahawa beliau mengarahkan tenteranya untuk terus menyerang Lubnan dengan kekuatan penuh. – Bernama