Ketua Hamas di Luar Negara, Khalid Meshaal menegaskan solidariti rakyat Palestin terhadap rakyat Syria, khususnya para pelarian Palestin yang berada di kem-kem pelarian di negara itu.
“Kami mengesahkan bahawa rakyat Palestin di dalam dan luar negara, terutamanya pelarian di kem-kem Syria yang kami kasihi, sentiasa bersama rakyat Syria dan perjuangan mereka yang adil,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Meshaal menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Syria dan rakyatnya terhadap perjuangan Palestin. “Syria adalah jantung Arab, tiang Islam, serta menjadi pelindung sejarah bagi perjuangan kami,” tambah beliau.
Menurut Meshaal, rakyat Syria memiliki kekuatan dan kemampuan untuk bangkit kembali selepas pelbagai cabaran yang dihadapi selama ini. Beliau optimis dengan keupayaan rakyat Syria untuk membina semula negara, menyatukan pelbagai elemen masyarakat, dan melangkah ke hadapan demi mencapai kestabilan, kemakmuran, dan keadilan sosial.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa Syria akan kembali memainkan peranan utamanya dalam dunia Arab dan Islam, terutama dalam mendukung perjuangan Palestin.
“Syria mampu meraih kembali peranannya yang bersejarah dalam menyokong isu utama umat ini, iaitu Palestin, dengan Baitulmaqdis sebagai jantungnya dan Gaza sebagai simbol gelombang perjuangan,” katanya. – Dunia Palestin