Mesir mencadangkan gencatan senjata sementara di Gaza bagi memudahkan kemungkinan pertukaran tebusan, kata Presidennya Abdel Fattah Al-Sisi, lapor Agensi Anadolu.
“Kami mencadangkan gencatan senjata di Gaza selama dua hari bagi menukar empat orang tebusan (warga Israel) dengan beberapa tahanan (warga Palestin).
“… dan kemudian rundingan akan dijalankan selama sepuluh hari bagi mengubah gencatan senjata ini kepada perdamaian kekal,” kata Al-Sisi dalam satu sidang media bersama Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune di Kaherah.
Presiden Algeria itu turut menyuarakan sokongan padu terhadap inisiatif Mesir, menyokong usaha Al-Sisi untuk mewujudkan keamanan di wilayah Palestin tersebut.
Israel menganggarkan sekitar 101 rakyatnya masih ditahan di Gaza, dengan kebimbangan bahawa sebahagian daripada mereka mungkin telah terkorban dalam serangan udara Israel di kawasan yang padat penduduk.
Usaha yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata dan memudahkan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas masih tertangguh, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan mempertimbangkan untuk menamatkan konflik tersebut.
Tentera Israel terus melancarkan serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza sejak tahun lalu, meskipun Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata serta-merta.
Hampir 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 100,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel juga menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah tersebut kehilangan tempat tinggal di tengah sekatan yang berterusan, yang telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel turut berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. – Ismaweb