Ketua pembangkang Israel gesa muktamadkan gencatan senjata di Gaza

Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, meminta Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk segera menandatangani perjanjian gencatan senjata, sekali gus mengakhiri perang di Gaza.

“Saya percaya bahawa sebarang kepentingan politik harus diketepikan kerana gencatan senjata ini adalah lebih penting.

“Israel sebagai sebuah negara tidak akan pulih kembali melainkan kita membawa tebusan pulang demi kesinambungan kewujudan negara Israel.

“Kami boleh melakukan perjanjian tebusan dan kami perlu melakukannya,” katanya selepas bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.

Lapid, yang juga bekas perdana menteri, memperbaharui janjinya untuk tidak berusaha menjatuhkan kerajaan Netanyahu yang bergantung kepada sokongan daripada ahli sayap kanan jika dia meneruskan perjanjian itu.

Beliau berkata, kerajaan Netanyahu harus melakukan lebih banyak untuk mencapai perjanjian membebaskan tebusan.

Bagaimanapun, harapan kembali tipis apabila Netanyahu hari ini mengumumkan Israel akan memperluaskan matlamat perangnya di Gaza bagi membolehkan penduduk Yahudi kembali ke penempatan mereka di utara Israel.

Mereka sebelum ini dipindahkan akibat serangan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza.

Keputusan itu diluluskan semasa mesyuarat semalaman Kabinet Perang Netanyahu, kata pejabatnya.

Serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel selatan mencetuskan perang di Gaza dan Hizbullah membuka barisan kedua menentang Israel sehari kemudian, meningkatkan pertempuran rentas sempadan Israel-Lubnan sehingga mengancam untuk mencetuskan konflik serantau.

Seorang budak lelaki menunggang basikal menarik kereta sarat dengan tong gas memasak melepasi runtuhan bangunan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Puluhan ribu rakyat Israel telah dipindahkan dari bandar-bandar di sepanjang sempadan utara yang telah rosak teruk akibat tembakan roket dan mereka masih belum pulang.

Pertempuran rentas sempadan semakin sengit sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika Israel mengurangkan serangan terhadap Hamas di Gaza dan mengerahkan lebih banyak tentera untuk kemungkinan serangan di utara terhadap Hizbullah.

Blinken mendakwa Netanyahu mempersetujui cadangan AS untuk merapatkan jurang dan menyelesaikan perjanjian itu, tetapi kemudian secara terbuka menolak penilaian AS bahawa perjanjian itu hampir selesai.

Pendirian Netanyahu mengenai apa yang dipanggil Koridor Philadelphi menimbulkan kemarahan Mesir, negara Arab pertama yang berdamai dengan Israel dan pengantara utama dalam krisis itu.

Menurut jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller, Koridor Philadelphi dan butiran mengenai pembebasan tawanan kekal sebagai perkara utama dalam perjanjian.

“Selepas berbulan-bulan usaha pengantaraan ke arah perjanjian gencatan senjata, AS sedang berusaha memberi cadangan baharu untuk merapatkan jurang.

“Kami terus membabitkan diri dengan rakan kongsi di rantau ini, khususnya dengan Mesir dan Qatar mengenai kandungan cadangan itu.

“Permintaan Israel untuk mengekalkan tentera di sempadan Gaza-Mesir dan butiran mengenai pembebasan tawanan tetap menjadi perkara utama,” katanya.

Tambah beliau, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken akan membincangkan usaha gencatan senjata dengan pegawai Mesir minggu ini, dalam lawatannya yang ke-10 ke Asia Barat memperbaharui rundingan gencatan senjata. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Yahya Sinwar: Hamas bersedia untuk ‘perang panjang’ di Gaza

Next Post

Pembunuhan Sabra dan Shatila: Luka berdarah rakyat Palestin

Related Posts