Israel pada Rabu memutuskan untuk mengehadkan jumlah jemaah solat Jumaat di kawasan Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan kepada 10,000 rakyat Palestin dari Tebing Barat, dengan setiap jemaah diwajibkan mendapatkan permit terlebih dahulu.
Menurut Anadolu, agensi ketenteraan Israel, COGAT dalam satu kenyataan berkata kepimpinan politik meluluskan sekatan itu selepas “penilaian keselamatan”.
“Selepas penilaian situasi keselamatan, pihak politik meluluskan pelan kemasukan jemaah Palestin untuk menghadiri solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan,” menurut agensi itu.
Ia menambah, 10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan memasuki Masjid al-Aqsa bagi menunaikan solat Jumaat sepanjang Ramadan, “dengan syarat mereka memperoleh permit harian terlebih dahulu bagi setiap solat Jumaat.”
Menurut kenyataan itu, rejim penjajah Israel hanya membenarkan lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita 50 tahun ke atas, serta kanak-kanak sehingga 12 tahun ditemani ahli keluarga untuk masuk.
Israel setiap tahun mengenakan “langkah keselamatan” yang diperketatkan di Baitulmaqdis Timur ketika Ramadan dan mengumumkan sekatan lebih ketat terhadap akses rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa.
Sementara itu, pendatang haram Israel berikrar akan terus melakukan pencerobohan ke kawasan Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan, menurut hantaran kumpulan pendatang di media sosial. – Dunia Palestin