Hamas menolak kenyataan seorang pegawai kerajaan Israel yang menggesa kumpulan itu supaya melucutkan senjata dalam tempoh 60 hari serta mengancam akan menyambung semula perang genosid Israel jika ia gagal mematuhinya.
Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi memberitahu Al Jazeera Mubasher pada Isnin bahawa beliau tidak mengetahui mengenai tuntutan sedemikian.
“Kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan melalui media hanyalah ancaman tanpa asas dalam rundingan yang sedang berlangsung,” lapor Al Jazeera Arabic memetik Mardawi.
Kenyataan Mardawi dibuat selepas Setiausaha Kabinet Israel, Yossi Fuchs, dalam satu persidangan di Baitulmaqdis pada Isnin, mengancam akan memperbaharui perang genosid di Gaza sekiranya Hamas gagal melucutkan senjata dalam tempoh 60 hari, menurut laporan media tempatan The Times of Israel.
Pembantu kanan Netanyahu itu mendakwa tempoh dua bulan berkenaan diminta oleh pentadbiran Amerika Syarikat. “Kami menghormatinya,” katanya.
Mardawi memberitahu Al Jazeera Mubasher bahawa sebarang ancaman untuk menyambung semula perang akan membawa “kesan serius terhadap rantau ini” dan menegaskan bahawa “rakyat Palestin tidak akan menyerah”. – Dunia Palestin