Lebih 16,400 kanak-kanak dibunuh Israel di Gaza sejak 7 Oktober

Sekurang-kurangnya 16,480 kanak-kanak Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu, kata pihak berkuasa tempatan semalam.

“Mangsa termasuk 115 bayi,” menurut Ismail Thawabteh, yang mengetuai pejabat media kerajaan Gaza, memberitahu Anadolu.

Beliau berkata 35 kanak-kanak Palestin meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di tengah-tengah sekatan ketat Israel di wilayah terkepung itu.

“Sekurang-kurangnya 3,500 kanak-kanak di Gaza berdepan risiko kematian di tengah-tengah kekurangan makanan dan kekurangan zat makanan di bawah sekatan Israel terhadap penghantaran makanan ke Gaza.

“Lebih 17,000 kanak-kanak kehilangan ibu bapa mereka atau sekurang-kurangnya seorang daripada mereka akibat dibunuh dengan kejam oleh tentera pendudukan Israel sejak 7 Oktober,” katanya.

Selama berbulan-bulan, agensi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran terhadap kesan psikologi negatif ke atas kanak-kanak Palestin akibat serangan dahsyat Israel ke atas Gaza.

Melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Serangan Israel sejak itu membunuh lebih 40,130 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 92,740, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Lebih 10 bulan selepas serangan Israel, kawasan Gaza yang luas runtuh di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mengarahkannya menghentikan serta-merta operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, di mana lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei lalu. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Amerika ‘membeli masa’ untuk genosid Israel

Next Post

Tentera Israel mengebom pegawainya sendiri di Gaza

Related Posts