Ribuan rakyat Palestin menunaikan solat Tarawih pertama bulan suci Ramadan pada Selasa malam di kompleks Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ketika polis Israel mengekalkan kawalan ketat di seluruh kawasan tersebut, lapor Anadolu.
Para jemaah memenuhi ruang solat berbumbung dan halaman terbuka masjid, manakala Sheikh Yusuf Abu Sneineh, khatib Masjid Al-Aqsa mengimamkan solat malam itu,
Rakaman yang dikongsi dalam talian menunjukkan polis Israel ditempatkan di dalam kompleks dan bergerak di celah para jemaah ketika solat berlangsung.
Terdahulu pada hari sama, Sheikh Mohammed Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan wilayah Palestin mengumumkan bahawa Rabu merupakan hari pertama bulan suci umat Islam itu.
“Anak bulan Ramadan telah kelihatan mengikut prosedur hukum syarak,” katanya, mengesahkan 18 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447 Hijrah.
Solat tersebut berlangsung dalam suasana ketegangan memuncak di Baitulmaqdis Timur yang dijajah, khususnya di sekitar Kota Lama dan kompleks Al-Aqsa, apabila rejim penjajah Israel meningkatkan langkah keselamatan termasuk penahanan serta larangan sementara terhadap tokoh agama dan aktivis. – Dunia Palestin