Gerakan Hamas mendakwa Israel telah melakukan lebih 813 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata sejak ia berkuat kuasa, melibatkan pembunuhan, pencerobohan ketenteraan, pemusnahan kawasan awam serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pemimpin Hamas yang juga anggota delegasi perundingan, Dr. Ghazi Hamad berkata teks perjanjian gencatan senjata itu adalah jelas dan terperinci serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan, namun Israel didakwa secara sengaja memanipulasi dan melanggar hampir semua peruntukan yang dipersetujui.
“Perjanjian gencatan senjata ini ditandatangani pada 9 Oktober 2025 dengan kehadiran para perantara dari Mesir, Qatar dan Turki, selain pengantara Amerika Syarikat (AS), serta di bawah penyeliaan pentadbiran AS. Sehingga kini, sudah 66 hari perjanjian itu berkuat kuasa,” katanya pada satu sidang media.
Menurut Hamad, Hamas tidak melakukan sebarang pelanggaran sejak perjanjian itu bermula dan mematuhi sepenuhnya semua terma yang dipersetujui, seperti yang turut diakui oleh para perantara yang memantau situasi harian di Gaza.
Sebaliknya, beliau menegaskan Israel secara sengaja melakukan pelanggaran berterusan berdasarkan keputusan kerajaan dan arahan ketenteraan, yang menurutnya membuktikan pelanggaran itu dirancang secara sistematik.
“Hakikat bahawa pelanggaran ini berlaku berulang kali menunjukkan ia bukan bersifat terpencil, sebaliknya dilakukan berdasarkan keputusan politik dan ketenteraan rejim Israel,” katanya.
Hamad menjelaskan pelanggaran tersebut merangkumi pembunuhan dan penembakan terhadap orang awam, serangan udara, pembunuhan terancang, pencerobohan melepasi zon penampan, selain sekatan terhadap bantuan kemanusiaan, penutupan berterusan pintu sempadan Rafah serta kegagalan membawa masuk peralatan diperlukan.
Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah pelanggaran melebihi 813 kes, dengan purata hampir 25 pelanggaran setiap hari sejak perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan, sambil menyifatkan situasi itu sebagai amat serius dan berbahaya. – Dunia Palestin