Hamas menegaskan bahawa pembunuhan Yasser Abu Shabab, individu yang dituduh bersekongkol dengan Israel, merupakan “nasib yang tidak dapat dielakkan” bagi sesiapa yang mengkhianati rakyat Palestin dan tanah airnya, menurut kenyataan pada Khamis.
Dalam kenyataan itu, Hamas menyifatkan Abu Shabab sebagai “ejen yang binasa” serta mendakwa tindakan Abu Shabab dan kumpulannya merupakan penyimpangan ketara daripada kesatuan nasional dan sosial rakyat Palestin.
Hamas turut merakamkan penghargaan kepada keluarga dan kabilah yang menjauhkan diri daripada Abu Shabab serta kumpulan yang terlibat dalam serangan terhadap rakyat Palestin atau bekerjasama dengan Israel, dan tidak memberi perlindungan sosial kepada mereka.
Pergerakan itu berkata Israel kini bergantung kepada “kumpulan yang rosak dari segi sosial, moral dan undang-undang” untuk menjalankan agenda tertentu di Gaza, menggambarkan keadaan itu sebagai bukti kelemahan Israel berdepan keteguhan rakyat Palestin dan perjuangan mereka.
“Hakikat bahawa Israel gagal melindungi para ejen mereka menunjukkan bahawa tiada seorang pun yang membantu musuh akan selamat,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa sesiapa yang mengancam keselamatan rakyat Palestin “akan berakhir dalam kehinaan dan kehilangan tempat dalam masyarakatnya.”
Hamas menegaskan perpaduan rakyat Palestin, meliputi keluarga, kabilah dan institusi nasional kekal sebagai benteng utama menolak usaha merosakkan struktur sosial dalaman mereka. – Dunia Palestin