Persidangan ulama dunia di Istanbul bertemakan “Gaza: Tanggungjawab Islam dan Kemanusiaan” anjuran Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dengan kerjasama Yayasan Ulama Islam di Turkiye menegaskan bahawa isu Gaza bukan lagi persoalan tempatan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab syarie dan kemanusiaan seluruh umat.
Persidangan selama lapan hari yang berakhir pada 29 Ogos 2025 itu menghimpunkan kira-kira 200 ulama dari 50 negara bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menuntut tindakan segera menghentikan serangan Israel di Gaza serta membuka laluan bantuan kemanusiaan.
Dalam kenyataan penutupnya, persidangan mengeluarkan Deklarasi Istanbul yang menyeru pembentukan pakatan global melibatkan tokoh hak asasi dan parlimen bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Ia turut menekankan perlunya perpaduan umat Islam melalui penubuhan Pakatan al-Quds, sebagaimana ditegaskan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Persidangan turut memutuskan penubuhan delegasi rasmi untuk berhubung dengan ketua-ketua negara, serta pembentukan jawatankuasa tetap bagi menilai tindakan susulan.
Dua mesej utama diangkat melalui persidangan itu, iaitu “Kami semua bersamamu” ditujukan kepada rakyat Gaza, dan penghargaan kepada para pejuang Palestin atas perjuangan sah mereka membela kebenaran dan keadilan.
Menurut penganjur, persidangan ini bukan penutup, sebaliknya titik mula kepada pelaksanaan keputusan daripada 18 bengkel yang memberi tumpuan kepada peranan umat Islam dan dunia dalam menangani tragedi kemanusiaan di Gaza. – Dunia Palestin