Israel pada Rabu mengenakan larangan selama enam bulan terhadap Syeikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Palestin, daripada memasuki Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, menurut pihak berkuasa tempatan. Larangan ini menyusuli pengharaman terdahulu selama lapan hari.
Larangan itu dikeluarkan selepas Syeikh Hussein menyampaikan khutbah Jumaat pada 25 Julai lalu, di mana beliau mengecam dasar kebuluran Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Beliau turut ditahan oleh polis Israel pada hari yang sama.
Menurut Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis, beliau telah dipanggil oleh rejim penjajah Israel pada 27 Julai dan dikenakan larangan awal selama seminggu.
Masjid al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam. Kaum Yahudi menyebut kawasan itu sebagai Temple Mount, yang dikatakan sebagai lokasi dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.
Israel telah menduduki Baitulmaqdis Timur dalam Perang Arab-Israel 1967 dan mengisytiharkan seluruh bandar itu sebagai wilayahnya pada tahun 1980, langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – Anadolu