HIKAM gesa kerajaan Malaysia tolak Deklarasi New York berkaitan Palestin

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menggesa kerajaan Malaysia supaya menolak Deklarasi New York mengenai Penyelesaian Aman Persoalan Palestin yang disifatkan sebagai tidak adil dan berat sebelah.

Dalam satu kenyataan, HIKAM berkata deklarasi yang diumumkan pada 30 Julai lalu serta disokong oleh Perancis, Arab Saudi, Liga Arab, Kesatuan Eropah dan 17 negara lain itu mengandungi beberapa kelemahan serius yang perlu diberi perhatian.

“Deklarasi ini secara selektif mengutuk Hamas tanpa mengiktiraf hak rakyat Palestin menentang penjajahan menurut undang-undang antarabangsa, sambil mengabaikan 76 tahun pendudukan haram Israel,” menurut kenyataan itu.

HIKAM turut mempersoalkan kegagalan deklarasi tersebut mengklasifikasikan tindakan Israel sebagai pembunuhan beramai-ramai (genosid), meskipun lebih 60,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh sejak konflik memuncak pada Oktober 2023.

“Penyelesaian dua negara yang dicadangkan hanyalah ilusi memandangkan Israel terus meluaskan penempatan haram di Tebing Barat,” katanya.

Kumpulan itu turut mempersoalkan pengiktirafan terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menurut mereka gagal menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat Palestin dan mempunyai rekod pentadbiran yang korup serta autoritarian.

Sehubungan itu, HIKAM mengemukakan lima saranan kepada kerajaan Malaysia, termasuk menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap deklarasi yang didakwa tidak adil itu serta mendesak gencatan senjata kekal dan laluan tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Selain itu, Malaysia digesa terus menyokong proses keadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap jenayah perang Israel, menggalakkan kempen Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) terhadap entiti yang menyokong rejim Zionis serta meneruskan usaha pendidikan dan diplomasi berkaitan isu Palestin di peringkat nasional dan global.

“Malaysia mesti berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa untuk menyokong resolusi yang tidak seimbang,” tegas HIKAM.

HIKAM merupakan gabungan NGO yang terdiri daripada Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN). – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mufti Oman gesa pejuang Palestin terus teguh, tidak menyerahkan senjata

Next Post

Israel larang Mufti Palestin memasuki Masjid al-Aqsa selama enam bulan

Related Posts