Ahli Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal memberi amaran bahawa tindakan dan langkah Israel di sekitar Masjid al-Aqsa sedang membuka jalan ke arah kawalan dan penguasaan penuh terhadap masjid itu.
Menurut Middle East Eye, Meshaal berkata langkah berkenaan termasuk penutupan masjid yang dilaporkan selama 40 hari, apa yang disifatkannya sebagai “penguatkuasaan pembahagian masa” bagi memudahkan pencerobohan oleh kumpulan Yahudi ekstremis, serta usaha mewujudkan “pembahagian ruang” dengan mengosongkan beberapa kemudahan utama di dalam kawasan Masjid al-Aqsa.
Meshaal berkata Masjid al-Aqsa kini berada di persimpangan, sambil menyeru supaya langkah diambil bagi melindungi masjid itu, termasuk apa yang disebutnya sebagai strategi perjuangan dan jihad.
Beliau turut menggesa negara-negara Arab dan majoriti Muslim supaya menyokong Palestin serta menyeru rakyat Palestin untuk terus mengekalkan kehadiran teguh di Masjid al-Aqsa. – Dunia Palestin