Hamas menamakan Khalil al-Hayya sebagai pemimpin baharunya

Hamas telah menamakan Khalil al-Hayya sebagai pemimpin baharunya, menggantikan Yahya Sinwar yang syahid dalam operasi tentera penjajah Israel pada Oktober 2024, lapor Al Jazeera.

Al-Hayya, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Biro Politik Hamas dan salah seorang daripada lima anggota majlis kepimpinan pergerakan itu, memenangi pemilihan dalaman dalam pusingan akhir menewaskan bekas Ketua Biro Politik, Khaled Meshaal, menurut kenyataan Hamas pada Isnin.

Kedudukan al-Hayya menjadi semakin penting selepas beberapa pemimpin tertinggi Hamas syahid pada 2024, termasuk Sinwar, panglima tentera Mohammed Deif di Gaza, serta Ismail Haniyeh yang syahid dalam satu pembunuhan ketika melakukan lawatan ke Tehran pada tahun yang sama.

Susulan kehilangan tokoh-tokoh utama itu, al-Hayya menjadi salah seorang daripada lima pemimpin yang menganggotai majlis kepimpinan Hamas, iaitu jawatankuasa pemerintah sementara yang terdiri daripada lima anggota dan ditubuhkan pada penghujung 2024 bagi mentadbir Gaza ketika perang Israel yang disifatkan sebagai genosid sedang berlangsung.

Al-Hayya merupakan ketua perunding Hamas ketika perjanjian gencatan senjata dengan Israel dimeterai pada Oktober 2025. Bagaimanapun, perjanjian itu gagal menamatkan serangan maut Israel yang terus berlaku secara kerap di Gaza.

Beliau sendiri pernah menjadi sasaran sekurang-kurangnya dua cubaan pembunuhan oleh tentera penjajah Israel.

“Israel masih belum memberikan reaksi rasmi terhadap pemilihan ini, namun beliau digambarkan di Israel sebagai seorang ‘hawk’ (tokoh berpendirian keras), iaitu individu yang lebih rapat dengan Iran berbanding kerajaan-kerajaan Arab, malah lebih rapat daripada Turki. Sudah tentu, perkara ini mungkin memberi gambaran tentang bagaimana keadaan akan berkembang selepas ini,” kata wartawan Al Jazeera, Nour Odeh, ketika melaporkan dari berhampiran Ramallah di Tebing Barat.

“Proses pemilihan ini sangat rumit. Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk diselesaikan melalui pelbagai peringkat pemilihan dalam Hamas di Tebing Barat, Gaza, penjara-penjara Israel dan dalam kalangan diaspora, sebelum akhirnya mencapai kemuncaknya pada saat ini,” katanya.

Dilahirkan di Semenanjung Gaza pada tahun 1960, al-Hayya telah bersama Hamas sejak pergerakan itu ditubuhkan pada tahun 1987. Beliau turut dipilih sebagai anggota Parlimen Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 2006.

Beliau kemudian memainkan peranan yang semakin penting di medan diplomatik dengan berpangkalan terutamanya di Qatar, yang muncul sebagai hab utama bagi usaha pengantaraan dengan pelbagai pihak, termasuk Israel, Mesir dan Amerika Syarikat.

Beroperasi di luar Gaza membolehkan beliau melakukan perjalanan dan menyelaras hubungan antara negara-negara jiran tanpa terikat dengan sekatan Israel ke atas Gaza. Al-Hayya juga mengetuai delegasi Hamas dalam rundingan yang dimediasi dengan Israel bagi mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Keluarga al-Hayya turut menjadi mangsa serangan Israel. Empat orang anak beliau syahid dalam serangan Israel sepanjang beberapa tahun lalu. Semasa perang 2014, satu serangan Israel memusnahkan rumah anak sulungnya, Osama, yang terbunuh bersama isterinya serta tiga orang anak mereka.

Pada September tahun lalu, satu serangan Israel ke atas sebuah kompleks kediaman di tengah Doha, Qatar, mengorbankan lima orang, termasuk anak lelakinya, Humam. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Meshaal: Pemergian Bapa Emir Qatar kehilangan besar Palestin, dunia Islam

Next Post

GSPP ucap tahniah kepada Hamas, seru rakyat perkukuh solidariti Palestin

Related Posts