Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) mengucapkan tahniah kepada gerakan Hamas atas kejayaan melaksanakan proses pemilihan kepimpinan secara syura yang menyaksikan Dr Khalil al-Hayya dipilih sebagai Ketua Biro Politik yang baharu.
Pengerusi GSPP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata pelantikan itu mencerminkan keteguhan institusi syura yang menjadi asas kepada gerakan Islam walaupun rakyat Palestin terus berhadapan dengan genosid, kepungan dan pelbagai bentuk penindasan.
“Pelantikan ini mencerminkan keteguhan institusi syura yang menjadi asas kepada gerakan Islam, bahkan terlaksana dalam keadaan rakyat Palestin terus berhadapan dengan genosid, kepungan dan pelbagai bentuk penindasan. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, hikmah, kebijaksanaan dan keteguhan kepada beliau dalam memikul amanah yang besar ini,” kata beliau.
Menurut beliau, GSPP turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan Hamas terdahulu yang telah berkorban mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin, sambil menyifatkan pengorbanan para syuhada, termasuk pemimpin yang gugur dalam perjuangan, sebagai inspirasi kepada umat Islam serta pencinta keadilan di seluruh dunia.
Muhammad Fauzi turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus memperkukuh solidariti terhadap perjuangan Palestin melalui sokongan berterusan dalam pelbagai bentuk. Sokongan daripada rakyat Malaysia amat penting bagi memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian sehingga kezaliman, penjajahan dan genosid terhadap rakyat Palestin dihentikan.
Beliau berharap kepimpinan baharu Hamas akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan saf perjuangan Palestin, mempererat kesatuan umat serta menggerakkan usaha yang lebih berkesan dalam mempertahankan hak-hak rakyat Palestin sehingga tercapainya kebebasan, keadilan dan keamanan yang sebenar. – Dunia Palestin