Hamas mendakwa peningkatan serangan udara Israel ke atas beberapa kawasan di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 20 orang awam, termasuk empat kanak-kanak dan seorang anggota perubatan, merupakan kesinambungan perang genosid terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata tindakan itu mencerminkan niat terancang Benjamin Netanyahu untuk menggagalkan pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata, khususnya berkaitan pembukaan Lintasan Rafah.
Menurut kenyataan itu, dakwaan Israel kononnya berlaku insiden tembakan yang menyasarkan seorang tenteranya hanyalah alasan rapuh bagi meneruskan pembunuhan dan pencerobohan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Hamas menegaskan tindakan tersebut adalah cubaan jenayah untuk mewujudkan realiti kekal penindasan dan keganasan di Gaza, serta satu penghinaan terang-terangan terhadap kewajipan perjanjian gencatan senjata dan persefahaman yang telah dicapai,” menurut kenyataan itu.
Hamas turut menggesa para perantara serta negara-negara penjamin perjanjian supaya mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkan sebagai usaha sistematik Netanyahu untuk menggagalkan perjanjian dan menyambung semula pembunuhan, kebuluran serta sekatan ke atas Gaza.
Gerakan itu menegaskan bahawa serangan berterusan Israel, meskipun proses peralihan ke fasa kedua perjanjian sedang berlangsung, merupakan tindakan sabotaj yang disengajakan terhadap usaha mengekalkan gencatan senjata dan satu bentuk pelarian daripada komitmen yang telah dipersetujui.
“Hamas menuntut tekanan antarabangsa segera bagi menghentikan pelanggaran ini dan memaksa Israel menghormati janji serta tanggungjawabnya di bawah perjanjian gencatan senjata,” menurut kenyataan itu. – Dunia Palestin