Hamas tegas tidak akan menyerahkan pejuang yang terperangkap di Rafah

Briged al-Qassam menegaskan pihaknya tidak akan menyerahkan para pejuangnya yang masih bertahan di Rafah, walau dalam keadaan sukar sekalipun, menolak sebarang kemungkinan penyerahan diri atau pengunduran tanpa kehormatan.

Dalam kenyataan rasmi, Briged al-Qassam berkata bahawa “tiada istilah menyerah diri atau meletakkan senjata di hadapan musuh dalam kamus pejuangnya,” menandakan tekad mereka untuk terus mempertahankan diri sehingga ke titisan darah terakhir.

Menurut kenyataan itu, para pejuang al-Qassam kini terperangkap di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Zionis di Rafah dan hanya bertindak secara defensif, selepas gagal berundur ke kawasan selamat seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian gencatan senjata.

Al-Qassam turut menuduh bahawa rejim Zionis menanggung sepenuhnya tanggungjawab terhadap pertempuran terkini di Rafah, dengan menyatakan bahawa “penjajah Zionis yang memaksa konfrontasi berlanjutan” apabila pasukan Zionis menceroboh zon yang sepatutnya dikekalkan aman.

Sumber dalaman Hamas memaklumkan, sekitar 200 pejuang masih berada di dalam rangkaian terowong Rafah sejak pengumuman gencatan senjata, dan kini terkepung di kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning”.

Laporan juga menyebut bahawa beberapa pihak perantara telah mencadangkan cadangan baru bagi membolehkan pengunduran selamat pejuang al-Qassam, berkemungkinan sebagai sebahagian daripada rundingan pertukaran tahanan yang lebih luas.

Sementara itu, rejim Zionis menuduh Hamas melengahkan proses penyerahan mayat-mayat tawanan mereka yang terbunuh.

Sebagai respon, Hamas menjelaskan bahawa operasi pengambilan mayat sebelum ini dilaksanakan dalam “keadaan yang sangat kompleks dan berbahaya”, namun pihaknya telah memenuhi tanggungjawab mengikut perjanjian terdahulu. Pengeluaran baki mayat, jelas Hamas, memerlukan pasukan teknikal tambahan serta peralatan khas.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamas mengumumkan akan menyerahkan mayat pegawai tentera Zionis, Hadar Goldin, pada jam 2.00 petang waktu Gaza hari ini.

Goldin, yang terbunuh dalam perang 2014 ke atas Gaza, telah disimpan mayatnya oleh Hamas selama lebih satu dekad. Menurut al-Qassam, mayat tersebut ditemui semalam di dalam sebuah terowong di kem perlindungan Yabna, Rafah di selatan Gaza.

Kes Goldin telah menjadi antara isu utama dalam rundingan antara Hamas dan rejim Zionis sejak 2014, selepas beliau diisytiharkan mati dalam pertempuran di Rafah. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas sokong waran tangkap Turki terhadap 37 pegawai Israel

Next Post

Israel serang Gaza tanpa sebarang perancangan, dedah pegawai kanan

Related Posts