Menteri Perang Israel, Yisrael Katz pada Sabtu berkata dia telah mengarahkan tentera untuk meneruskan kerja-kerja perobohan di kawasan Semenanjung Gaza yang masih berada di bawah kawalan Israel dengan koordinasi bersama Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan, menurut Anadolu.
“Saya telah mengarahkan tentera untuk memberi keutamaan kepada pemusnahan terowong sebagai tugas utama di zon kuning yang kini berada di bawah kawalan kami, di samping melindungi para askar dan komuniti,” tulis Katz di platform media sosial X.
Dia berkata, tindakan itu dilakukan seiring dengan perbincangan bersama pegawai AS termasuk Naib Presiden, Setiausaha Negara dan Setiausaha Pertahanan, utusan presiden serta komander CENTCOM mengenai keperluan melaksanakan rancangan Presiden AS Donald Trump dan memastikan “pembongkaran serta pemusnahan sepenuhnya semua terowong keganasan di wilayah yang masih di bawah tanggungjawab mereka, di samping perlucutan senjata Hamas.”
“Demilitarisasi Gaza melalui pemusnahan ‘terowong keganasan’ Hamas, berserta perlucutan senjata Hamas, pada pandangan saya merupakan objektif strategik paling penting untuk mencapai kemenangan di Gaza,” katanya.
Katz menambah bahawa misi moral paling mendesak adalah membawa pulang semua tawanan dan mayat mereka yang mati ke tanah air, dan “kami akan melakukan segala yang perlu untuk melaksanakan ‘misi suci’ dan kritikal ini.”
“Misi strategik utama untuk merealisasikan kemenangan besar yang dicapai oleh askar Israel yang berani terhadap ‘pengganas’ Hamas di Gaza ialah demilitarisasi Gaza melalui pemusnahan sepenuhnya terowong keganasan, yang 60% daripadanya masih kekal, di samping perlucutan senjata Hamas,” tambahnya.
Perjanjian gencatan senjata berfasa antara Hamas dan Israel, yang dimediasi melalui pihak serantau dan antarabangsa, berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Fasa pertama merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin dan pengunduran separa tentera Israel. Ia juga merangkumi rancangan untuk membina semula Gaza dan menubuhkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas. – Dunia Palestin