Hamas umum perjanjian henti perang dan pengunduran Israel dicapai

Gerakan Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai bagi menamatkan perang di Gaza serta memastikan pengunduran penuh tentera penjajah Israel dari wilayah itu.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, Hamas memaklumkan bahawa perjanjian tersebut turut merangkumi kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dan pelaksanaan pertukaran tahanan antara pihak Palestin dan Israel.

Menurut kenyataan itu, perjanjian dicapai selepas rundingan serius dan bertanggungjawab antara Hamas serta beberapa kumpulan pejuang Palestin lain berhubung cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam rundingan di Sharm el-Sheikh.

“Kami menghargai usaha gigih saudara-saudara kami dari Qatar, Mesir dan Turki yang menjadi pengantara, serta menghargai peranan Presiden AS Donald Trump dalam membawa kepada pengakhiran muktamad perang dan pengunduran penuh pendudukan dari Gaza,” menurut kenyataan itu.

Hamas turut menggesa Trump, negara-negara penjamin perjanjian serta pihak Arab, Islam dan antarabangsa untuk memastikan kerajaan Israel melaksanakan sepenuhnya syarat perjanjian dan tidak mengelak daripada tanggungjawab yang telah dipersetujui.

Gerakan itu turut merakam penghargaan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, al-Quds serta diaspora yang terus menunjukkan keteguhan, keberanian dan kehormatan dalam menghadapi kekejaman penjajah Zionis.

“Hamas menegaskan bahawa pengorbanan rakyat kami tidak akan sia-sia. Kami akan kekal setia pada janji dan tidak akan berundur daripada hak-hak nasional rakyat Palestin sehingga kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri tercapai,” katanya.

Perjanjian itu dilihat sebagai titik penting dalam usaha menamatkan genosid yang berlanjutan sejak dua tahun lalu di Gaza serta membuka jalan kepada proses pemulihan kemanusiaan dan politik di wilayah berkenaan. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Taufan al-Aqsa kembalikan isu Palestin ke pentas antarabangsa

Next Post

20 tahanan Israel ditukar dengan 2,000 tahanan Palestin dalam fasa pertama

Related Posts