Pemimpin kanan Hamas, Fawzi Barhoum menegaskan bahawa Operasi Taufan Al-Aqsa telah mengembalikan isu Palestin ke pentas antarabangsa dan mendedahkan wajah sebenar penjajah Zionis yang mengancam kestabilan serantau serta global.
Dalam sidang media sempena ulang tahun kedua operasi itu, Barhoum berkata perjuangan rakyat Palestin kini kembali menjadi perhatian dunia selepas dua tahun menempuh penderitaan akibat perang genosid, kebuluran terancang, kemusnahan menyeluruh dan pembersihan etnik oleh penjajah Zionis.
Beliau menegaskan bahawa hampir 95 peratus mangsa serangan tersebut ialah orang awam tidak bersenjata, sesuatu yang menjadi titik hitam kekal terhadap entiti Zionis serta semua pihak yang berdiam diri daripada mengutuk jenayah tersebut.
Menurut Barhoum, perang dua tahun ini bukan sekadar menyasarkan Hamas dan kumpulan pejuang, tetapi keseluruhan kewujudan bangsa Palestin. Katanya, serangan itu adalah usaha terdesak penjajah Zionis untuk mematahkan semangat rakyat Palestin, menghapuskan perjuangan mereka serta menafikan hak mutlak untuk pembebasan dan pulang ke tanah air.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan Hamas ketika ini ialah menghentikan segera serangan dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di samping mengekalkan komitmen terhadap semua hak nasional rakyat Palestin untuk kebebasan dan kemerdekaan.
Barhoum menjelaskan bahawa Hamas telah menunjukkan tanggungjawab tinggi dalam meneliti semua cadangan gencatan senjata sejak dua tahun lalu, termasuk yang terbaru dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau berkata delegasi Hamas yang kini berada di Mesir sedang berusaha mengatasi segala halangan bagi mencapai perjanjian yang memenuhi aspirasi rakyat Gaza, termasuk gencatan senjata kekal dan menyeluruh, pengunduran penuh tentera pendudukan dari semua kawasan Gaza, kemasukan tanpa sekatan bantuan kemanusiaan, pemulangan segera penduduk yang dipindahkan ke kawasan asal mereka, permulaan proses pembinaan semula di bawah pengawasan badan teknokrat Palestin, serta pelaksanaan pertukaran tahanan secara adil.
Barhoum turut memberi amaran terhadap cubaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menggagalkan rundingan semasa di Mesir, seperti mana beliau didakwa mensabotaj semua pusingan terdahulu.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk menekan penjajah Zionis agar menghentikan serangan ke atas rakyat Palestin dan memberi laluan kepada penyelesaian yang adil serta berkekalan. – Dunia Palestin