Hamas mengecam keras keputusan bersama Amerika Syarikat dan Eropah untuk menyekat siaran TV Al-Aqsa di semua satelit, menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kebebasan media serta hak rakyat Palestin untuk menyampaikan suara mereka kepada dunia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hamas menyatakan bahawa keputusan itu merupakan serangan langsung terhadap media Palestin yang bebas, yang memainkan peranan dalam menyiarkan penderitaan rakyat serta jenayah penjajah Israel di peringkat antarabangsa.
“Kami melihat langkah ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyekat naratif Palestin, menghalang wartawan dan media antarabangsa daripada memasuki Gaza, serta menyasarkan pengamal media yang melaporkan situasi sebenar di wilayah itu,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Hamas menyeru media antarabangsa serta institusi kewartawanan global agar mengecam keputusan tersebut dan terus mendedahkan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa serta nilai kemanusiaan.
“Kami tegaskan bahawa semua usaha penjajah untuk menutup kebenaran akan menemui kegagalan, dan suara perjuangan akan terus berkumandang demi hak rakyat Palestin sehingga pembebasan dan kepulangan tercapai,” tambah kenyataan itu.
Langkah sekatan terhadap TV Al-Aqsa itu dilihat sebagai sebahagian daripada tekanan berterusan Israel dan sekutunya bagi menghadkan penyebaran maklumat mengenai konflik Palestin-Israel. – Dunia Palestin