Israel guna rakyat Palestin sebagai perisai manusia setiap hari

Seorang pegawai tentera Israel mendedahkan pada Khamis bahawa tentera menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia sekurang-kurangnya enam kali sehari di Semenanjung Gaza, satu taktik yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Pegawai tersebut, yang menulis secara tanpa nama dalam akhbar Haaretz, mengkritik polis tentera kerana hanya membuka enam siasatan terhadap amalan tersebut.

“Saya hampir tercekik apabila mengetahui bahawa polis tentera hanya melancarkan enam siasatan terhadap penggunaan rakyat Palestin sebagai perisai manusia,” tulis pegawai itu.

“Di Gaza, ia berlaku sekurang-kurangnya enam kali sehari,” katanya. “Jika pihak berkuasa benar-benar serius, mereka perlu membuka sekurang-kurangnya 2,190 siasatan.”

Beliau berpendapat bahawa pengumuman siasatan hanyalah satu usaha kosmetik “untuk meyakinkan diri sendiri dan dunia bahawa kami sedang menyiasat diri kami sendiri.”

Pegawai yang berkhidmat selama sembilan bulan di Gaza itu turut mendedahkan satu prosedur yang digelar “prosedur nyamuk”, di mana rakyat Palestin dipaksa masuk dan membersihkan rumah—memeriksa jika terdapat pejuang bersenjata atau bahan letupan.

“Saya pertama kali melihatnya pada Disember 2023, dua bulan selepas serangan darat bermula, tanpa menyedari ketika itu betapa berleluasanya amalan ini,” katanya.

Tentera Israel memberi gelaran “shawish” kepada rakyat Palestin yang digunakan dalam “prosedur nyamuk”.

“Hari ini, hampir setiap platun mempunyai seorang shawish. Tiada unit infantri yang memasuki rumah sebelum seorang shawish membersihkannya,” tambah pegawai itu.

Beliau mendakwa bahawa kepimpinan tertinggi tentera telah mengetahui tentang amalan ini selama lebih setahun, menganggapnya sebagai satu keperluan operasi’, dan “tiada sesiapa yang cuba menghentikannya.”

Merujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), beliau memberi amaran, “Kita mempunyai setiap sebab untuk bimbang tentang The Hague. Ini adalah jenayah (penggunaan perisai manusia) — malah tentera sendiri mengakuinya — dan ia jauh lebih meluas daripada yang diketahui umum.” – Anadolu

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas, Jihad Islam bincang pelaksanaan gencatan senjata

Next Post

Hamas kecam sekatan AS, Eropah terhadap siaran satelit TV Al-Aqsa

Related Posts