Kumpulan perjuangan Palestin, Hamas berkata pada hari Selasa bahawa mereka akan membebaskan enam tahanan Israel yang masih hidup dan mayat empat tahanan minggu ini di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel.
“Pembebasan enam tahanan Israel yang masih hidup pada hari Sabtu di bawah fasa pertama perjanjian Gaza telah dipersetujui”, kata pemimpin Hamas di Gaza, Khalil Al-Hayya, dalam satu ucapan yang dirakam.
Beliau menyebut Hisham al-Sayed dan Avera Mengistu antara enam tahanan yang akan dibebaskan pada hari Sabtu.
Pemimpin Hamas itu juga berkata kumpulannya akan menyerahkan mayat empat tahanan Israel pada hari Khamis, termasuk ahli keluarga Bibas.
“Musuh (Israel) akan membebaskan tahanan Palestin sebagai balasan di bawah perjanjian itu,” tambahnya.
Hayya berkata Hamas akan terus menyerahkan lebih banyak mayat tahanan Israel minggu depan seperti yang dipersetujui dalam fasa pertama perjanjian Gaza.
Pembebasan minggu depan akan menjadikan jumlah tahanan Israel yang dibebaskan oleh Hamas di bawah fasa pertama perjanjian Gaza kepada 33 ahanan, termasuk 25 tahanan yang masih hidup dan lapan mayat.
Setakat ini, sejumlah 1,135 tahanan Palestin telah dibebaskan dari penjara Israel. Israel dijadualkan untuk membebaskan 502 lagi tahanan minggu ini.
Hayya menggambarkan langkah-langkah ini sebagai sebahagian daripada “usaha berterusan Hamas untuk memastikan kejayaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata” dan “membuka jalan untuk memasuki fasa kedua sebagai tindak balas kepada usaha pengantara.” – Anadolu