Palestin bukan dijajah melalui peperangan semata-mata, tetapi melalui strategi penempatan dan pembandaran yang tersusun.
Sejak Pertubuhan Zionis Antarabangsa melancarkan visi untuk menjadikan Palestin sebagai negara Yahudi pada 1897, mereka telah merancang pelbagai strategi bagi memperoleh tanah tersebut secara ‘aman’.
Percubaan pertama mereka adalah dengan menawarkan rasuah kepada Sultan Abdul Hamid II untuk membeli tanah Palestin dari Uthmaniyyah, namun usaha itu gagal, tetapi gerakan Zionis telah bersiap sedia dengan alternatif lain.
Pada 1901, dalam Persidangan Zionis Antarabangsa ke-5, mereka menubuhkan Jewish National Fund (JNF), sebuah institusi dana khas untuk memudahkan sumbangan Yahudi dari seluruh dunia bagi projek penjajahan Palestin.

Dana ini digunakan untuk membeli tanah di bandar-bandar utama di persisiran pantai, terutamanya di Haifa dan Jaffa (kini Tel Aviv), yang merupakan lokasi strategik.
Selain itu, tanah pertanian turut dibeli dan dijadikan kibbutz (ibarat felda) bagi memperluaskan penempatan mereka di Palestin.

Pada 1947, Pelan Pembahagian PBB iaitu Resolusi 181 telah memberikan hampir 60% tanah Palestin kepada Yahudi, yang membawa kepada pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dan penyusunan penempatan Yahudi secara agresif dengan kemuncaknya adalah Nakbah 1948.
Hari ini, lebih 85% tanah Palestin berada di bawah penjajahan Zionis, satu proses yang bermula dengan strategi pembandaran dan penempatan sistematik sejak lebih seabad lalu.
Ahmad Nu’man Mazlan
Penyelidik Dunia Palestin