Kisah Mohamed Al-Deif dan isterinya yang syahid, Widad Asfoura

Keluarga Widad Asfoura, isteri Mohammed Deif, bersiap sedia untuk mengebumikan jenazahnya.

“Kau buat Israel gila dengan membiarkan mereka melihat kesan tindakanmu, tetapi bukan wajahmu. Percubaan mereka untuk membunuhmu telah gagal, dan seluruh negara ingin melihat bayangmu, pahlawanku, walaupun dari jauh, tetapi hanya aku yang tahu warna matamu, ukiran wajahmu, betapa ketinggianmu, berapa banyak gula yang kau letakkan dalam tehmu, dan bagaimana rupa berus gigimu.”

          Surat ini ditulis melalui sudut pandang Widad Asfoura terhadap suaminya, Mohamed Al-Deif, seorang komander Briged Al-Qassam. Widad dan anak mereka yang masih bayi, Ali, telah syahid dalam serangan Israel yang bertujuan untuk membunuh suaminya semasa perang Asfi Ma’kul pada tahun 2014 di Gaza. Kata-kata ini telah ditulis oleh Hadeel Attallah seperti yang diceritakan oleh ibu Widad, Umm Ibrahim, dan saudara perempuannya, Eman Asfoura. Surat ini pertama kali diterbitkan dalam bahasa Arab di akhbar Felesteen.


          Kepada teman sejatiku dan buah hatiku, seorang lelaki yang mendedikasikan dirinya untuk negara, yang jari manis kirinya menjadi rumah kepada cincinku. Kepada Deif, aku menghargai setiap kali kita bertemu, dan bersamamu aku hidup dalam kebahagiaan selepas bertahun-tahun berlinangan air mata.


          Ini adalah kali pertama dalam sejarah sebuah kisah cinta diceritakan pada hari salah satu wataknya pergi buat selamanya. Alhamdulillah, aku adalah wanita yang telah mengorbankan diri agar lelaki kesayanganku terus hidup, meneruskan kepimpinannya ke atas tenteranya, dan membangunkan persenjataan ketenteraannya. Bagaimana mungkin aku tidak berbuat demikian, setelah bertahun-tahun hidup di sisinya seperti seorang ratu, meskipun kehidupan kami berbeza dan sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.


          Hari ini, namaku dan namamu, Mohamed Diab Al-Deif boleh diumumkan secara terbuka, berdampingan, untuk dunia dengar dan mereka boleh menghamparkan permaidani merah buat kami. Bintang sejati ini tidak berada di langit, tetapi di dalam terowong, tempat bintang-bintang yang tersembunyi berada, namun ada masanya mereka menemui cahaya dan orang-orang di dunia akhirnya melihat sinar keindahan mereka.


          Aku tahu kau sedang tergesa-gesa kerana kesempitan waktu dan ketidaktentuan dalam kegelapan ini. Namun, wanita yang tenang, diam, dan sederhana ini tetap merindui “musuh terbesar bagi musuh terbesar kita (Zionis)” ini, untuk mendengar celoteh Widadnya. Bukankah aku ini tenteramu yang tidak dikenali, seperti para pejuang Qassam yang setia?

Duduklah di sisiku sebentar, untuk kali terakhir, dalam seragammu. Kau jauh lebih gagah dalam pakaian perjuangan itu, lebih megah daripada mereka yang mengenakan kemeja putih dan tali leher merah, seperti politikus dan tokoh berpengaruh. Biarkan aku menghirup harum peluh pertempuranmu, satu wangian yang dicipta oleh “Deif”—lebih mulia daripada haruman Perancis atau bunga melati yang semakin pudar di sisinya.


Ibuku Meminta Tangan Mohamed Al-Deif

Saya sangat naif dan berhati-hati ketika saya masih kecil, dan kakak saya Eman, yang setahun lebih tua, yang merupakan “bayangan jiwa saya” dan yang paling rapat di antara empat kakak saya, selalu mengusik saya. Bahkan selepas kami dewasa, dia masih mengingatkan saya tentang masa-masa kami pergi ke sekolah bersama dan melintas jalan. Setiap kali saya melihat kereta yang mendekat dari jauh, saya akan berkeras menunggu sehingga ia berlalu untuk melintas, dan Eman akan memarahi saya dan berkata, “Ambil masa kamu, Widad! Saya tinggalkan kamu sebab loceng sekolah akan berbunyi tak lama lagi.”


          Aku selalu mengagumi cara hidup beragama abangku, Ibrahim. Aku sangat dipengaruhi olehnya dan sentiasa mematuhinya, seolah-olah dia adalah ayahku. Masih segar dalam ingatanku ketika dia dalam tahun terakhir sekolah menengah, aku akan mengejutkannya pada waktu Subuh supaya dia dapat belajar. Ibu saya, yang memiliki wajah berseri-seri sehingga mampu menandingi sinar matahari, selalu berkata, “Saya hanya akan menikahkan anak perempuan saya dengan seorang tentera Briged Al-Qassam.”


          Dia memberi aku sebuah tanda kehormatan ketika dia meyakinkanku, semasa aku masih kecil, aku berbeza dari semua adik-beradikku kerana aku adalah yang paling tekun menghafal Al-Quran, paling penyabar, dan paling beralah walaupun aku berada dalam keadaan yang benar.

          Aku semakin mencintaimu, ibu, ketika ibu menceritakan kisah pernikahanku dengan Mohamed Al-Deif kerana penceritaanmu kamu sering disertai dengan ketawa bangga yang bukan sekadar “keangkuhan kosong”. Enam tahun yang lalu, kami sedang duduk bersama sekumpulan wanita, berbual santai, dan seseorang menyebut bahawa isteri lelaki ini tidak dikurniakan anak pada masa itu, walaupun sudah menjalani beberapa pembedahan, namun tiada hasil, dan meskipun begitu, dia dengan tegas menolak untuk berkahwin lagi. Namun, mereka yang rapat dengannya mendesak agar dia mempunyai seorang anak lelaki untuk membawa namanya. Pada saat itu, ibuku dengan spontan berkata: “Jika dia meminta tangan anak perempuan saya untuk berkahwin, saya akan setuju. Itu akan menjadi satu penghormatan bagi kami.” Pernyataan itu disampaikan kepadanya, dan keesokan harinya, dia terus menghantar permintaan untuk meminang saya.

          Aku sangat menghargai tutur katamu, ibu, apabila dirimu berkata “Saya yang meminta tangan Mohamed Al-Deif untuk anak perempuan saya (Widad) dan bukan dia (Dheif)” dan bagimu ibu, berkahwin dengan lelaki sejati, tanpa mengira cabaran, adalah lebih baik daripada berkahwin dengan lelaki yang tidak beradab.


Kebimbangan dan Perjuangan Sebelum Keputusan

Terdapat dua lelaki Qassam dalam jiwa saya, dan di antara keduanya, hati saya telah menjadi peta bagi sebuah negara yang telah dirampas. Hati ini tidak mudah difahami oleh wanita-wanita yang memiliki kemampuan untuk menjalani kehidupan normal. Hati ini tidak hancur dengan perpisahan, walaupun ia dipenuhi dengan kesedihan dan keletihan. Jantung hatiku yang pertama bernama “Belal Qaseea’a”, dan betapa sukarnya bagi seorang wanita muda, yang baru berusia 16 tahun untuk memahami dan menerima hakikat bahawa cinta pertamanya tidak akan lagi bersamanya setelah menghabiskan tiga tahun yang penuh kegembiraan bersamanya.

          Kebaikan Belal adalah seperti air terjun yang meresap ke dalam lubuk hatiku. Beberapa hari sebelum kematiannya, dia membawaku ke pasar dan membelikan aku dan anak-anakku, Bakr dan Banan, almari pakaian baru. Pada hari itu, dia memberitahuku bahawa aku mengandung, walaupun ujian kehamilan menunjukkan negatif, dan ternyata benar, anak perempuan saya Banan sedang dikandung.

          Selepas dia meninggal, aku menjadi sangat tertekan selama tiga tahun;, aku menangis begitu banyak sehingga keluargaku bimbang tentangku. Ketika aku berdiri, di sisi tubuhnya yang kaku, aku menolak untuk mengucapkan doa, “Ya Allah, ganjarilah aku atas musibah ini dan berikan sesuatu yang lebih baik sebagai penggantinya.” Sebaliknya, aku menjawab seperti Umm Salama, (seorang janda sahabat Nabi (SAW), yang pada mulanya merasakan dia tidak akan berkahwin lebih baik, namun akhirnya berkahwin dengan Nabi (SAW)), dan saya berkata, “Adakah lebih baik dari Belal?” Aku berkata pada diriku sedemikian ketika aku sedang tertekan, dan Mohamed Al-Deif adalah takdir yang hebat selepas aku menolak idea perkahwinan sebelum itu. Pada saat itu, ibu saya berkata: “Widad akan menjadi seperti mereka yang telah menemui emas di hujung pelangi.”

          Kamu mahukan seorang janda dengan anak yatim, dan permintaanku hanya satu, Abu Khalid, adalah supaya anak-anakku kekal bersamaku, maka kita bertemu di titik yang sama. Aku tidak menafikan bahawa aku ragu-ragu   sebelum setuju untuk berkahwin denganmu. Aku takut bahawa perkahwinanku denganmu akan menjadi pengkhianatan kepada Belal. Aku bimbang tragedi yang sama akan berulang dan anak-anak baruku juga akan menjadi yatim. Aku lebih takut lagi jika aku mati syahid dan mereka semua akan menjadi anak yatim tanpa ibu, tetapi kemudian aku bermimpi tentang Belal yang memberi saya jawapan yang jelas.

          Ia seperti sebuah mimpi, Ya Allah, betapa indahnya mimpi itu yang menjadi kenyataan dalam beberapa jam! Pada tahun 2008, aku teringat kata-kataku kepada Eman selepas berkahwin: “Aku banyak mendengar tentangnya, tetapi aku tidak pernah membayangkan bahawa ia akan berbeza ketika saya hidup bersamanya. Jika aku hanya mempunyai beberapa hari untuk hidup bersamanya, itu sudah cukup untuk seumur hidup.” Penjajah berkata bahawa “Al-Deif berkahwin dengan tergesa-gesa kerana dia ‘setengah lelaki’. Dia bukan sebahagian daripada keganasan, keganasan adalah sebahagian daripadanya,” dan saya menjawab dengan senyuman kelat, “Hancurlah dalam kemarahanmu.”

Hadiahku Adalah Memilikimu Di Hadapanku

          Kau membuatkan Israel gila dengan membiarkan mereka melihat tindakanmu, tetapi bukan wajah anda. Usaha mereka untuk membunuh anda telah gagal, dan seluruh negara ingin melihat bayang-bayang anda, wira saya, walaupun dari jauh, tetapi hanya saya yang tahu warna mata anda, ukiran wajah anda, berapa tinggi anda, berapa banyak gula yang anda ambil dalam teh anda, dan bagaimana rupa berus gigi anda. Saya adalah orang yang tahu rahsia tabiat anda, seolah-olah Tuhan menciptakan saya untuk sekufu dengan legenda seperti anda. Semua orang tahu bahawa saya sangat jauh dari rasa ingin tahu dan saya sangat tertutup mengenai urusan peribadi saya. “Sarang cinta” kita tidak mempunyai satu alamat tertentu,  alamat kita dikelilingi oleh sekatan keselamatan.


          Tiada siapa tahu bahawa aku adalah isteri kepada lelaki yang paling dikehendaki, kecuali mereka yang paling rapat denganku. Saat rahsia itu terbongkar, saudara-maraku menyalahkan ibu bapaku, berkata, “Kamu bukan sekadar menandatangani sijil perkahwinannya, tetapi juga sijil kematiannya.” Dan aku? Aku sentiasa bersedia dengan alasan “hanya nama yang kebetulan serupa” bagi sesiapa yang meneliti dokumen rasmi anak-anakku dengan terlalu teliti.


          Seperti kisah kita, para wira tidak pernah diberi ruang untuk berjalan santai, menziarahi keluarga, atau sekadar berbicara di telefon dengan tenang. Bahkan lautan sendiri sukar mempercayai bahawa ia tidak pernah melihat kita—walau sekali—berjalan tanpa alas kaki di pesisirnya, seperti orang lain. Namun, kau selalu yang terbaik dalam menghapus setiap jejak langkah kita.


          Yang aku fikirkan hanyalah untuk melakukan yang terbaik untuk membuat kau bahagia, dan aku merasakan keselesaanmu dalam pakaian dan makananmu, terutamanya apabila aku menyediakan makanan tradisional yang kau sukai. Kata-kata ibumu selalu berlegar di telingaku, “Aku melihat kebaikan pada dirinya, anakku.”


          Aku masih ingat ekspresi wajahmu dalam situasi yang memberi impak besar kepadaku semasa hari-hari awal perkahwinan kita. Kau memberiku satu pengajaran dalam keyakinan dan keteguhan. Kau berkata: “Widad, hari-hari saya bersama anda mungkin terhad atau Allah mungkin menakdirkan saya hidup selama beberapa dekad. Sebagai contoh, Khalid ibn Al-Walid [pahlawan tentera Muslim yang terkenal dan sahabat Nabi (SAW)] berperang melawan musuh, tetapi mati di atas katil. Namun, harapan terbesar saya adalah mati sebagai seorang syahuda”

          Sejak hari pertama bersama, hidupku berubah. Aku seperti burung bulbul, menyanyi tentang kehidupan tanpa merasakan perbezaan usia di antara kita. Aku terasa seperti melayang setiap kali kau menghantar mesej dengan cara khasmu, mengajakku bertemu di tempat yang kau pilih. Kejutannya adalah apabila aku melihat kau sudah di sana, kau adalah hadiah terbaik yang pernah aku terima, dan kau tidak pernah menolak permintaanku. Jika aku melakukan sesuatu yang kau tidak suka, kau akan menegurku dengan penuh kasih sayang.

          Aku akan membisikkan kata-kataku kepadamu dan berkata, “Aku tak dapat bayangkan kau pergi sebelumku. Aku tak sanggup menanggung kesedihan itu lagi.” Mohamed, dengan sepenuh hati, aku ingin kau tahu, “Aku sanggup berkorban demi dirimu, pemimpinku.”

Seorang Lelaki Yang Terhormat Dalam Segala Cara

          Aku sentiasa bertanya kepada diri sendiri tentang tahap kebesaran dan kemurahan hati yang kau miliki yang membolehkanmu mengatasi perasaan memiliki dan mungkin juga cemburu, kerana kau sentiasa memberiku peluang untuk berbicara tentang kehidupanku yang lalu bersama Belal. Kau bahkan memanggil saya “Um Bakr” untuk menghormati fasa itu dalam hidupku, dan kau akan selalu bertanya tentang keluarga Belal. Aku selalu tersenyum apabila mengingatkanku tentang ibu mertuaku, Um Belal yang menasihatiku agar tidak menyentuh masa lalu di hadapanmu, Abu Khaled kerana takut kau cemburu, tetapi aku membalas, “Apa yang kau cakapkan, Um Belal? Dialah yang memulakan perbualan tentang ini, dan dia memastikan untuk menghormati anak-anakku dengan Abu Bakr.”

          Kadang-kadang, aku terkejut bagaimana lelaki yang mengubah keseimbangan kuasa dalam pertempuran dengan Israel juga mampu menunjukkan sisi romantiknya. Aku masih ingat saat kau mengejutkanku dengan membeli banyak pakaian untukku dan anak-anak kita—Omar, Ali, Halima, dan Sara. Pada hari itu, aku terfikir untuk bersedekah dengan sebahagian pakaian itu, tetapi kemudian aku berkata kepada diriku sendiri, “Aku tak boleh, kerana ini hadiah darimu yang akan selalu mengingatkanku kepadamu.” Aku juga sering terkesima melihat seorang komander perang yang hebat di darat, laut, dan udara begitu gembira bermain dengan anak-anaknya, terutama kesayangannya, si bongsu, Ali. Lebih menghairankan, betapa kau begitu mengambil berat tentang mereka—hingga kau meminta aku menutup tingkap kerana bimbang angin akan membahayakan mereka.

Kami tidak pernah berpeluang untuk merakamkan gambar yang diambil oleh jurugambar. Hanya beberapa gambar yang tersebar dan digunakan oleh Israel yang masih cuba untuk membayangkan bagaimana rupamu. Jarakku dari alat komunikasi moden tidak pernah menggangguku; tiada telefon bimbit, Facebook, atau mana-mana alat lain yang mengancam keselamatanmu. Kau tidak pernah peduli tentang penampilan atau kemegahan, kerendahan hati, kesabaran, kerahsiaan dan kekuatan adalah “empat keutamaan Deif  yang juga aku pelajari daripadamu.

          Apabila kami bersosial dalam pertemuan wanita, aku menjadi seorang yang pendiam sehingga adikku Eman selalu mengusikku dengan berkata, “Wahai Widad, kalau kamu bersumpah kepada mereka bahawa kamu isteri Al-Deif, mereka tidak akan mempercayainya.”

Mereka Bertemu Untuk Pertama Kali

         
          Semua orang tertanya-tanya tentang “bab terakhir” dalam cerita ini. Ketika gegaran drum perang mula bergema, kami menghadapi masa yang sukar, dan yang aku boleh katakan hanyalah bahawa Abu Khaled sangat risau tentang keadaan orang ramai. Salah satu kisah yang paling menyakitkan yang memberi kesan kepada Mohamed adalah kisah yang disiarkan di televisyen mengenai seorang wanita yang menjadi buta selepas rumahnya disasarkan, dan anak-anaknya syahid tanpa pengetahuannya.

          Semasa gencatan senjata pertama, aku menerima mesej bahawa anak bongsuku, Bayan, menangis ketika dia tinggal bersama adik-beradik Bakr dan Banan di rumah datuk nenek mereka. Apabila mereka bertanya mengapa dia menangis, dia menjawab: “Pesawat menjatuhkan bom dan aku takut ibu akan mati seperti ayah.” Saya segera pergi kepadanya, dan aku memakai jilbab hijau baru (pakaian panjang dan longgar), mungkin saya sedang “bersiap” untuk syahid. Dan, seperti biasa, Eman mengusik, “Tenang seperti biasa, Um Bakr.

          Aku sangat merindui anak-anakmu ketika gencatan senjata terakhir, dan aku telah memberitahu mereka bahawa, dengan izin Allah, aku akan melawat mereka “esok”, berdasarkan maklumat yang tersebar mengenai gencatan senjata. Aku menepati janjiku dan aku datang, “diangkat di atas bahu orang ramai”, selepas penjajah secara tiba-tiba melanggar gencatan senjata dalam usaha tamak untuk membunuh sasaran utama mereka. Ironinya, yang pertama sekali memberikan ucapan takziah adalah keluarga Belal dan Mohamed, ini adalah kali pertama kedua-dua keluarga bertemu.

Lap Picu Senapangmu Dengan Air Mata Kamu


Eman, aku tahu bahawa sukar bagi kamu untuk mendengar bahawa rumah keluarga Al-Dalou disasarkan di Gaza dan kamu melihat Omar mencari seseorang yang dikenali, tetapi kamu tidak berani untuk menghubungi sesiapa bagi mengesahkan kerana takut dengan akibat keselamatan, dan oleh itu, terpaksa menunggu media untuk melaporkan berita tersebut. Eman, aku tahu sukar bagimu melihat Halima mengumpulkan buah-buahan manis dan belon untuk mencipta “syurga”, sebuah syurga yang mengingatkannya pada ibunya yang telah tiada..

Lebih sukar bagimu untuk cuba memberitahu Bakr dan adik-beradiknya bahawa aku tidak lagi bersama mereka, tetapi mereka sudah tahu dari air matamu. Aku tahu bahawa ia sukar untuk seorang kanak-kanak seperti Banan untuk berdiri di atas tubuhku seraya berkata: “Ya Allah, kurniakan ibu dan ayahku dengan Jannatul Firdaus.”

Beberapa saat sebelum pesawat perang menembak misil mereka, aku sangat bahagia. Aku sedang minum kopi dan berbicara tentang anak-anakku dan kesulitan mereka. Omar berlari jauh ke Halima, tetapi Ali, Sara dan aku mempunyai janji dengan takdir.

Aku dapat melihat air mata tulusmu, Mohamed Al-Deif, jatuh perlahan di pipimu sementara kamu merenung kembali masa lalu kita dan saat-saat intim kita bersama yang hanya Tuhan yang tahu perinciannya. Menangislah, Mohamed Al-Deif dan jangan tahan air mata kamu, lap picu senapangmu dengan air mata itu. Air mata atas pembunuhan beramai-ramai tidak akan melemahkan lelaki, ia membuat mereka lebih tekad dan menyalakan api mereka.

Pilu hatiku, tetapi aku memohon padamu, jangan terus bersedih lama-lama, dan jangan salahkan bulan Ogos yang mana misil mereka mengenai buah hati kamu, Widad dan buah dari keturunan kamu, Ali dan Sara, hanya kau yang tahu bahawa aku menyukai bulan Ogos kerana ia adalah bulan di mana lelaki terhormat seperti kau dilahirkan untuk memimpin pemuda yang benar terhadap janji mereka kepada Tuhan.

Widad Asfoura

Diterjemah oleh Ahmad Muntaha bin Zainal Bahrin, Penyelidik Dunia Palestin.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lelaki misteri yang diburu Israel selama 30 tahun

Next Post

Trump: Amerika akan ambil alih Gaza untuk ‘pembangunan’

Related Posts