Serangan semalaman tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 39 penduduk Palestin di seluruh Semenanjung Gaza, menurut petugas perubatan yang melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang rentung apabila khemah perlindungan terbakar.
Penduduk dilihat mengusung jenazah yang dibalut dengan permaidani keluar dari sisa runtuhan khemah sementara yang terbakar di Mawasi, berhampiran pantai barat Khan Younis, selatan Gaza.
Kawasan itu menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu penduduk selama beberapa bulan. Israel menggelar kawasan tersebut sebagai zon kemanusiaan dan telah lama menggesa orang ramai berpindah ke situ untuk keselamatan mereka.
Di Hospital Kamal Adwan, petugas perubatan bermandikan darah mangsa yang dirawat, kebanyakannya cedera parah selepas beberapa siri serangan Israel yang didakwa ‘disasarkan secara sengaja’ ke atas kemudahan perubatan yang dikepung itu.
Sementara itu, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) memberi amaran bahawa cuaca sejuk yang mula menyelubungi Gaza memburukkan lagi keadaan bagi keluarga yang kini bergelut untuk terus hidup di tempat perlindungan sementara tanpa pakaian atau selimut yang mencukupi.
Di Baitulmaqdis, kumpulan perubatan dan hak asasi manusia menggesa pembukaan serta merta koridor kemanusiaan dari Gaza bagi membolehkan pemindahan segera pesakit ke hospital di timur Baitulmaqdis.
Pemindahan perubatan yang jarang dilakukan itu disyorkan oleh pertubuhan antarabangsa atau negara asing dengan penyelarasan pihak berkuasa Israel.
Rangkaian hospital Baitulmaqdis timur dan pakar perubatan hak asasi manusia Israel (PHRI) menggesa pembukaan semula segera Gaza ke Koridor Perubatan Timur Baitulmaqdis kerana kira-kira 25,000 pesakit memerlukan rawatan segera.
Pengarah Hospital Augusta Victoria di timur Baitulmaqdis, Fadi Atrash berkata, pembukaan semula koridor pemindahan adalah penting bagi membolehkan pihaknya menyediakan rawatan penting di hospital itu kerana mempunyai ruang dan kepakaran perubatan.
Di Jenin pula pertempuran senjata tercetus semalam di utara Tebing Barat yang diduduki antara kumpulan pejuang Jihad Islam dan pasukan keselamatan Palestin susulan kecurian kenderaan yang dimiliki oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), menurut wartawan AFP di bandar itu.
Pertempuran sengit itu dilaporkan bermula sekitar 9.30 malam (waktu tempatan) dan berlaku selepas penempatan anggota pasukan keselamatan di sekitar kem pelarian Jenin, yang terletak berhampiran dengan bandar yang juga kubu kuat kumpulan bersenjata di wilayah berkenaan.
Saksi melaporkan bahawa pasukan keselamatan Palestin membuat sekatan jalan raya di laluan keluar dari kem.
Ketegangan semakin memuncak di Jenin selepas sekumpulan lelaki bersenjata merampas dua kenderaan milik PA dan berarak melalui jalan mengibarkan bendera Jihad Islam.
Dalam satu kenyataan, jurucakap pasukan keselamatan, Jeneral Anwar Rajab, berkata sekumpulan penjenayah melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat perkhidmatan keselamatan dan mencuri dua kenderaan.
Ketegangan antara PA dan kumpulan bersenjata juga semakin memuncak berikutan penahanan baru-baru ini oleh pasukan keselamatan.
Pada sidang akhbar di dalam kem Jenin, jurucakap kumpulan bersenjata tempatan, Mahmud Abu Talal, menuduh PA meninggalkan rakyatnya dalam keadaan yang paling sukar.
Beliau juga menolak label penjenayah dan menuduh PA menjalankan operasi berterusan untuk melemahkan mereka yang melindungi rakyat sendiri.
Jenin sekian lama menjadi kubu kumpulan bersenjata Palestin dan menjadi tumpuan serbuan besar Israel yang dilancarkan pada penghujung Ogos.
Kekerasan di Tebing Barat juga semakin bertambah teruk selepas perang di Gaza bermula pada Oktober 2023. Israel menduduki wilayah itu sejak tahun 1967.- Berita Harian