Masyarakat antarabangsa digesa supaya campur tangan sebelum terlambat berikutan tentera Israel yang terus menyasarkan dua hospital yang masih berfungsi di utara Gaza, menurut jurucakap satu daripada hospital berkenaan.
Pengarah Hospital Kamal Adwan di bandar Beit Lahia, Hossam Abu Safiyeh, menyifatkan keadaan di pusat perubatan itu sebagai sangat berbahaya dan menakutkan berikutan tembakan berterusan tentera Israel.
Jurucakap tentera Israel bagaimanapun menafikan bahawa hospital itu menjadi sasaran.
“Saya tidak mengetahui sebarang serangan ke atas hospital Kamal Adwan,” katanya.
Safiyeh bagaimanapun melaporkan, hospital terbabit yang kini merawat 91 pesakit sudah menjadi sasaran pada Isnin oleh dron Israel.
“Pagi ini, dron menggugurkan bom di halaman dan bumbung hospital. Tembakan itu turut memusnahkan rumah dan bangunan berhampiran, ia tidak berhenti sepanjang malam,” kata Safiyeh dalam kenyataan.
Katanya, serangan dan pengeboman berterusan itu menyebabkan kerosakan besar kepada hospital.
“Peluru terkena unit rawatan rapi (ICU), wad bersalin dan jabatan pembedahan, sekali gus menyebabkan ketakutan dalam kalangan pesakit,” katanya sambil menambah generator hospital turut menjadi sasaran rejim.
“Dunia mesti faham, hospital kita menjadi sasaran dengan niat mereka untuk membunuh dan memindahkan orang di dalamnya secara paksa.
“Kami menghadapi ancaman berterusan setiap hari. Serangan berterusan dari semua arah. Keadaan ini amat kritikal dan memerlukan campur tangan segera antarabangsa sebelum terlambat,” katanya.
Pada Ahad, Safiyeh berkata, beliau menerima arahan untuk mengosongkan hospital, namun tentera menafikan mengeluarkan arahan sedemikian.
Terletak di Beit Lahia, hospital itu adalah satu daripada dua yang masih beroperasi di utara Gaza.
Kawasan berkenaan menjadi tumpuan kempen serangan udara dan darat tentera Israel sejak 6 Oktober, bertujuan menghalang Hamas daripada berkumpul semula.
Kebanyakan mangsa maut dan cedera akibat serangan itu dibawa ke hospital Kamal Adwan dan Al-Awda.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antaraangsa lain berulang kali mengecam keadaan kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza, khususnya di utara, sejak serangan tentera rejim terbaru bermula. – Berita Harian