Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam Palestin iaitu Briged Al-Qassam dan Briged Al-Quds telah mengaku bertanggungjawab terhadap letupan yang berlaku petang Ahad di Tel Aviv.
Briged Al-Qassam mengumumkan di saluran Telegramnya pada 19 Ogos pelaksanaan operasi istisyhad (berani mati) yang berlaku pada petang Ahad di bandar Tel Aviv.
Briged itu juga mengesahkan bahawa operasi isytihad di kawasan Palestin yang dijajah akan kembali dilakukan selagi hukuman mati, operasi pemindahan orang awam dan dasar pembunuhan diteruskan oleh penjajah Zionis.
“Polis dan Shin Bet (Agensi Keselamatan Israel) mengesahkan pada hari Isnin bahawa letupan malam Ahad di Tel Aviv adalah ‘serangan pengganas’ yang dilakukan melalui alat letupan yang kuat,” lapor The Jerusalem Post.
Pihak polis dan Shin Bet seterusnya menambah bahawa tahap kewaspadaan telah dinaikkan di seluruh Gush Dan, dan pencarian sedang dijalankan di kawasan itu.
Televisyen Israel Kan melaporkan bahawa suspek yang “membawa bahan letupan,” dipercayai dari bandar Nablus di Tebing Barat.
Sub-Komisioner Haim Bobalil, komander kawasan Ayalon Polis Daerah Tel Aviv, memberitahu Kan, “Mungkin penyerang itu merancang untuk sampai ke sinagog atau mungkin pusat membeli-belah. Kami tidak mempunyai keupayaan untuk memahami mengapa ia meletup pada masa ini.”
“Situasi di sini menggambarkan apa yang berlaku. Ia adalah letupan yang kuat yang boleh menyebabkan kerosakan yang ketara. Kita berada dalam satu keajaiban bahawa kejadian itu tidak berakhir dengan berpuluh-puluh kematian,” tambah Bobalil.
Hamas tidak melakukan serangan pengeboman seperti itu sejak 2016, apabila Abdul Hamid Abu Srour yang berusia 19 tahun, dari berhampiran bandar Bethlehem Tebing Barat, meletupkan bahan letupan di dalam bas di Baitulmaqdis. Letupan itu membunuh Abu Srour dan mencederakan 20 warga Israel.
Di Tel Aviv secara khusus, operasi seperti itu tidak dilakukan sejak 2006, apabila Jihad Islam Palestin melakukan ‘pengeboman restoran Rosh Ha’ir’ pertama dan kedua pada 19 Januari dan 17 April tahun itu. Semasa operasi kedua, 11 warga Israel terbunuh, dan 70 cedera.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan memberitahu TV Al-Arabi pada 19 Ogos bahawa “penentangan Palestin melancarkan model baharu melalui operasi Tel Aviv” sambil membincangkan cara konfrontasi baharu dalam menangani tindakan keras Israel untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza. – The Cradle