Sekurang-kurangnya 84 rakyat Palestin terbunuh dan 329 lain cedera di Semenanjung Gaza ketika tentera Israel melancarkan serangan baharu di Khan Younis.
Tentera Israel meletakkan lebih 80 peratus kawasan Gaza di bawah arahan pemindahan atau ditetapkan sebagai ‘zon larangan’.
Tindakan itu menyebabkan penduduk Palestin semakin gelisah dan bertanya ke mana lagi boleh mereka pergi selepas sebahagian besar wilayah itu sudah musnah sama sekali akibat serangan Israel.
Angka kematian di Israel dianggarkan sekitar 1,139 orang dengan puluhan yang lain masih ditawan di Gaza.
Sementara itu, 39,090 penduduk Palestin terbunuh dan 90,147 lagi cedera dalam perang Israel ke atas Gaza.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa lebih banyak pemindahan perubatan dilakukan dari Gaza.
Kira-kira 19 kanak-kanak dibenarkan meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan ketika gencatan senjatan selama dua bulan pada Jun lalu.
“Bagaimanapun, proses pemindahan itu sangat perlahan, hanya 16 pesakit kanak-kanak dari Gaza kini dibawa ke Mesir kini bersiap sedia untuk dipindahkan ke Sepanyol untuk rawatan perubatan khusus.
“Seramai 13 kanak-kanak mengalami kecederaan parah, dua menghidap penyakit jantung kronik, dan seorang menghidap barah.
“Kami berterima kasih kepada Tabung Bantuan Kanak-Kanak Palestin (PCRF) kerana memudahkan pemindahan dari Semenanjung Gaza,” katanya.
Kesemua kanak-kanak ditemani 25 ahli keluarga dan pembantu bagi memudahkan pemindahan perubatan mereka.
“Kami sangat berterima kasih kepada Mesir atas sokongan mereka dan Sepanyol kerana menawarkan untuk menyediakan penjagaan kanak-kanak itu,” katanya.
Lebih 10,000 pesakit masih memerlukan pemindahan perubatan keluar dari Gaza tetapi hanya sekitar 5,000 pesakit dipindahkan sejak Oktober 2023.
Sejak sempadan Rafah ditutup dan halangan lain, pergerakan pesakit menjadi semakin perlahan. – Berita Harian