Malaysia mengalu-alukan persefahaman dan perpaduan antara Fatah dan Hamas bagi menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan rakyat Palestin menerusi Deklarasi Beijing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Deklarasi Beijing ternyata langkah yang amat penting terutamanya dalam mencapai hak dan kebebasan bagi rakyat Palestin.
“Penghargaan buat Kerajaan Republik Rakyat China dalam memudah cara pertemuan dan perbincangan antara Fatah, Hamas dan 12 fraksi lain yang membentuk perjuangan Palestin.
“Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya, serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan,” katanya dalam hantaran di media sosial, pada Selasa.
Anwar berkata perakuan antarabangsa disifatkan sebagai perkara yang penting ketika ini.
“Saya menggesa kerajaan di seluruh dunia yang belum memperaku negara Palestin untuk segera memperakuinya, selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan itu.
“Kesemua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadab Israel dihentikan,” katanya.
Malaysia juga katanya bersedia untuk mencurahkan tenaga dan keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan.
Hari ini media antarabangsa melaporkan 14 kumpulan Palestin mencapai persetujuan secara praktikal dan terperinci untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.
Wakil 14 kumpulan itu termasuk Fatah dan Hamas yang menghadiri rundingan perdamaian dan menandatangani Deklarasi Beijing yang berlangsung dari 21 Julai hingga 23 Julai.
Fatah dan Hamas yang juga dua kuasa besar politik Palestin dilapor menandatangani deklarasi itu bagi menamatkan perpecahan yang sudah berlarutan sekian lama. – Berita Harian