Kelab Perwira Malaysia (Perwira) berjaya memberikan bantuan di Gaza dengan membina dan membaiki telaga air di sekeliling utara Gaza termasuk Turkuman.
Dalam kenyataan, Perwira memaklumkan bahawa projek bantuan baik pulih dan membina telaga air ini dijalankan di bawah Kempen Bantuan Kecemasan Palestin Perwira.
Jenis bantuan yang diusahakan oleh Perwira adalah membina, membaiki, menyelenggara dan membaik pulih telaga air.
“Alhamdulillah dengan izin Allah, pada 9 dan 10 Jun 2024, Perwira telah berjaya memberikan bantuan kepada penduduk Gaza dengan membina dan membaiki telaga air baharu buat mereka.
“Setakat ini nilai bantuan yang diterima adalah sebanyak RM 40,000 yang telah memberi manfaat kepada seramai 10,000 orang di sekeliling utara Gaza.
“Kelab Perwira mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang. Semoga Allah membalas segala kebaikan anda,” katanya.
Kelab Perwira Malaysia merupakan sebuah platform bagi melahirkan barisan sukarelawan dan tenaga mahir serta bantuan keperluan asas dalam berhadapan bencana. – Ismaweb