Seorang doktor Yahudi warga Amerika Syarikat (AS) mendedahkan penembak tepat Israel sengaja menyasarkan kanak-kanak Palestin dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza, baru-baru ini.
Mark Perlmutter berkata apa yang disaksikan di Gaza pada minggu pertama beliau di wilayah terkepung itu melebihi semua tragedi yang dilihat dalam 30 tahun.
Beliau yang menghabiskan masa 30 tahun di zon bencana di seluruh dunia, berkata apa yang beliau saksikan di Gaza pada minggu pertamanya adalah lebih tragis daripada apa yang dilihat dalam kerjayanya.
“Semua bencana yang saya lihat menggabungkan lebih 40 lawatan di lapangan termasuk bencana alam dan pengeboman Pusat Dagangan Dunia, tidak sepadan dengan tahap pembunuhan beramai-ramai yang saya lihat terhadap orang awam hanya dalam minggu pertama saya di Gaza,” kata Perlmutter.
Portal berita Al Quds melaporkan beliau berkata kebanyakan mangsa yang dilihatnya adalah kanak-kanak.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Saya melihat kanak-kanak melecur terbakar dan cedera dalam cara yang melebihi apa-apa yang pernah saya lihat dalam hidup saya,” katanya.
Sementara itu pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza kelmarin berkata 129 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 416 yang lain cedera dalam tiga hari operasi tentera Israel di bandar Khan Yunis, yang sebelum ini didakwa berada dalam “kawasan selamat.”
Pejabat itu berkata dalam satu kenyataan, pencerobohan baharu Israel ke atas bandar Khan Yunis menyebabkan 129 syahid dan 416 cedera dan 44 hilang.
Ia berkata terdapat 1,350 rayuan daripada keluarga yang terperangkap dalam Khan Yunis yang tidak tahu bagaimana untuk keluar kerana pencerobohan dan serangan berterusan Israel.
“Sebanyak 237 rumah dan bangunan kediaman dibom Israel dalam beberapa hari lalu.
“Tentera pendudukan menyasarkan segala yang bergerak di Jalan Salah al-Din di Khan Yunis dan menghalang operasi penyelarasan untuk menyelamat dan membawa keluar mereka yang cedera dan syahid,” katanya. – Berita Harian