Hamas: Tiada kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza

Pegawai kanan kumpulan Hamas, Osama Hamdan, berkata pada 29 Jun bahawa tiada kemajuan dibuat dalam rundingan gencatan senjata dengan Israel berkaitan perang di Gaza.

Hamas masih bersedia untuk “berunding secara positif” berhubung sebarang cadangan gencatan senjata yang dapat menamatkan peperangan itu, kata Osama Hamdan kepada sidang media di Beirut.

Setakat ini, usaha oleh pengantara negara-negara Arab dan Amerika Syarikat gagal mencapai gencatan senjata, dengan kededua pihak saling menyalahkan satu sama lain.

Hamas menekankan bahawa sebarang perjanjian harus menamatkan perang itu, dan disertai pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.

Israel pula menyatakan ia hanya akan menerima gencatan senjata sementara sehingga Hamas yang memerintah Gaza sejak 2007, dihapuskan.

Osama Hamdan juga menyalahkan Amerika atas desakannya terhadap Hamas untuk menerima syarat-syarat dikemukakan Israel.

“Sekali lagi, Hamas sedia untuk menangani secara positif sebarang cadangan yang dapat menjamin gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh Israel dari Jaluran Gaza dan penukaran tebusan,” kata Osama Hamdan, yang merujuk kepada pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk tahanan rakyat Palestin di penjara Israel.

Serangan Israel sejauh ini telah mengorbankan hampir 38,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza, dan memusnahkan kawasan tepi pantai yang padat dengan penduduk.

Kementerian kesihatan Gaza tidak membezakan antara “pejuang” Hamas dengan orang awam, namun pegawainya berkata kebanyakan yang terkorban di Gaza adalah orang awam.

Lebih 300 askar Israel terbunuh di Gaza setakat ini.

Israel menyatakan sekitar satu pertiga daripada rakyat Palestin yang terkorban adalah “pejuang Hamas”.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, serangan tentera Israel di kawasan Gaza pada 29 Jun telah membunuh sekitar 35 orang dan mencederakan ramai penduduknya.

Pada 29 Jun, tentera Israel mengumumkan bahawa dua askarnya terbunuh dalam pertempuran di utara Gaza, sedang tentera Israel meneruskan serangan di kejiranan Shejaia di bandar Gaza.

Penduduk berkata kereta kebal Israel memasuki beberapa daerah pedalaman, termasuk kawasan berdekatan pasar tempatan, menyebabkan serangan dahsyat dari udara dan darat.

Sayap bersenjata Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, melaporkan pertempuran sengit, dengan pejuangnya melancarkan roket anti kereta kebal dan bom mortar terhadap pasukan tentera Israel yang beroperasi di sana.

Tentera Israel menyatakan, berpuluh-puluh lelaki bersenjata Palestin terbunuh sepanjang dua hari lalu dalam pertempuran jarak dekat dan serangan udara di Shejaia, selepas tenteranya mengepung kawasan yang didakwa sebagai kawasan awam yang diubah oleh Hamas menjadi kawasan militan.

Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa ia beroperasi di kawasan awam seperti sekolah dan hospital. – Berita Harian SG

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Analisis Taktikal Pasca 250 Hari Taufan Al-Aqsa

Next Post

Hamas bincang gencatan senjata Gaza dengan Ketua Perisikan Mesir

Related Posts