Ilustrasi Sejarah: Kisah Yahya Sinwar

Siri 1: Yahya Sinwar, Pemuda yang Kuat Keazaman Islam

Siapakah sosok yang telah meraih perhatian dunia dengan peristiwa kesyahidannya? Telusuri kisah Yahya Sinwar, Pemuda yang Kuat Keazaman Islam melalui ilustrasi yang dihasilkan menggunakan AI.

Kisah ini telah disunting dari sesi podsiar Arabi Post bersama rakan universiti al-Syahid Yahya Sinwar di Universiti Islam Gaza iaitu, Dr. Ma’mun Abu Amer. Beliau merupakan pakar penganalisis politik Israel.

Pertama sekali aku ingin ucapkan takziah kepada kita sendiri dan seluruh umat atas kesyahidan Yahya Sinwar.

Kemudian ingin aku tekankan di sini bahawa kesyahidan beliau ini sebenarnya bagaikan telah ditakdirkan sebagaimana cara beliau hidup.

Gambar yang dimaksudkan oleh ramai orang itu telah diketik pada tanggal 15 November 1980. Sungguh gambar ini sememangnya ada di dalam simpanan arkib gambar ku, juga sebenarnya ada lagi gambar yang kedua aku bersama dengan Yahya Sinwar.

Aku mula berkenalan dengannya secara umum ketika masih dibangku sekolah, cuma tidak berlaku hubungan yang akrab ketika itu.

Awal perkenalan yang lebih dekat hanya berlaku ketika mana dibukanya Universiti Islam Gaza (UIG) dan kami merupakan generasi yang pertama. Seramai 15 orang pelajar yang mendaftarkan diri dari seluruh Gaza untuk melanjutkan pelajar di UIG.

Maka, memang kami mengenali antara satu sama lain, apatah lagi aku dan Sinwar datang dari tempat yang sama, iaitu Khan Younis.

Pada waktu itu, atau tepatnya peralihan antara era 70-an ke era 80-an, Arus Islam baru dan sedang mendapat tempat di kalangan masyarakat di Gaza. Aku bersama Sinwar juga tidak terlepas untuk ikut bersama dengan arus ini.

Tetapi Sinwar dilihat lebih kehadapan kerana beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan beberapa syeikh yang berasal dari kampung kami, iaitu: Dr. Mahmud Siyam dan al-Syeikh Said al-Zughrub. Mereka merupakan generasi awal al-Ikhwan al-Muslimun di Gaza.

Selepas berlalunya beberapa tahun dari Perang 1967 (Naksah), boleh dikatakan ekonomi di Gaza beransur pulih dan berkembang baik. Tidak keberatan untuk aku katakana, pada akhir era 70-an, komuniti di Gaza kecenderungan mereka terhadap Islam tidaklah begitu kuat.

Namun, Sinwar yang masih remaja lagi pada ketika itu, sudah mempunyai keazaman dan semangat yang kuat terhadap isu keagamaan. Berbeza pula dengan apa yang berlaku pada-ku, kerana sejak aku berumur 10 tahun, aku mempunyai kecenderungan yang lebih terhadap isu politik.

Walaupun Sinwar masih berumur 18 tahun, tetapi aku sudah boleh lihat dengan jelas bahawa beliau merupakan seorang Ideolog Islam, kerana sejak awal lagi Sinwar sudah aktif mengajak kami untuk berkumpul dan beramal.

Apabila kami berkumpul dan duduk bersama, bacaan al-Quran dan Hadis menjadi intipati utama perbincangan kami. Aku masih ingat lagi, di dalam beberapa ‘jilsah’ yang awal bersama Sinwar, beliau sarankan untuk membaca dan mentadabbur Surah al-Hasyr.

Sungguh ketika mendengar saranan dari Sinwar ini kami berasa pelik dan taajub. Kerana kebiasaan kami yang kebanyakan mempunyai latar belakang dalam menghafal al-Quran, adalah bermula dengan menghafal surah-surah pendek, khususnya Juzu’ Amma.

Tetapi tidak bagi Sinwar, beliau secara spesifik memilih Surah al-Hasyr (Juzu’ 28), ini membuatkan aku secara peribadi berasa amat taajub. Setiap kali itulah, beliau sering membincangkan isi yang terdapat di dalam Surah al-Hasyr bersama kami.

Yang paling utama ialah tentang ‘permasaalahan Yahudi’ dan ‘peristiwa keluarnya Yahudi dari Madinah’. Apabila membaca surah ini, yang sering bermain di fikiran Sinwar ialah bagaimana untuk ‘menghalau’ Yahudi (Negara Haram Israel) yang berada di Palestin.

Jadi, menurut aku terdapat 2 sudut pemikiran yang penting yang wujud pada Sinwar ketika itu:

1. Kuatnya Pemikiran Islam pada diri Sinwar

2. Mendalamnya pandangan beliau tentang merealisasikan untuk menghalau Israel dari Palestin yang berakar umbi dari Surah al-Hasyr

Oleh itu, ketika meletusnya Operasi Taufan al-Aqsa, pemikiran dan kenangan ku melayang semula ke peristiwa ketika kami masih muda remaja dan adakah perbincangan serta Impian Sinwar pada ketika itu akan benar-benar akan menjadi realiti pada ketika ini?

Kerana, ayat 2 dari Surah al-Hasyr seakan-akan selari dengan apa yang berlaku pada 7 Oktober, Israel sedang di serang dari tempat yang mereka tidak pernah akan sangka, iaitu dari Gaza.

Namun, dari satu sudut, aku tanpa syak sedikit pun meyakini bahawa Sinwar lah yang menjadi watak utama bagi Operasi Taufan al-Aqsa yang agung ini.

Antara noktah yang penting juga yang aku dapati pada Abu Ibrahim, adalah peribadi beliau sejak dari kecil. Abu Ibrahim punyai dua sifat utama, iaitu semangat yang luar biasa dan bijaksana.

Aku masih ingat lagi ketika kami menuntut di UIG, Abu Ibrahim pada awalnya memilih Bidang Sains, tetapi beliau adalah pelajar yang sangat sibuk atas urusan tertentu dan kadangkala beliau terlepas dari memasuki kelas.

Beliau sering pesan pada ku untuk mendengar syarahan pensyarah di dalam kelas dan beliau akan meminta ku untuk menerangkan semula. Ajaibnya, dengan hanya sekali penerangan, beliau mampu untuk menggarap keseluruhan pelajaran yang kami belajar di dalam kelas.

Dengan berlalunya masa, Abu Ibrahim sedar beliau adalah pelajar yang sibuk, maka beliau membuat keputusan untuk menukar bidang ke Bahasa Arab. Ketika membuat keputusan itu, beliau amat yakin bahawa beliau akan dapat kuasai bidang itu dan mampu meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana.

Aku tanpa was-was meyakini kemampuan Abu Ibrahim, kerana aku sejak awal lagi aku sudah tahu pada usia muda beliau mampu meng-i’rab ayat-ayat al-Quran. Bahkan, beliau menghafal pelbagai Syair dan Prosa Arab.

Dengan kemampuan Abu Ibrahim yang luar biasa di dalam Bahasa Arab telah memberikan peluang yang luas untuk beliau menggembleng tenaga yang optima dalam menggerakan Persatuan Pelajar Islam yang dipimpinnya. Bahkan, bukan setakat massa pelajar sahaja yang beliau fokuskan, tetapi kerja-kerja amal kebajikan masyarakat turut mendapat perhatian Abu Ibrahim.

Sejak kami remaja, aku sudah lihat Abu Ibrahim punyai pelbagai kemahiran antaranya: membina bangunan, menjual, memotong rambut dan pelbagai lagi.

Yang menarik lagi, gambar kami yang tular itu sebenarnya kami sedang bergambar di hadapan sebuah bangunan kecil di UIG, tetapi bangunan itu tidak lengkap, maka aku serta Abu Ibrahim telah membina sebuah bilik buat bangunan itu.

Pernah juga, aku bersama Abu Ibrahim membina sebuah rumah rakyat Gaza yang telah dihancurkan oleh rejim Zionis. Abu Ibrahim membuat kerja-kerja amal ini dengan Ikhlas serta tidak mengharapkan pulangan duniawi.

Bersambung…


Kedekatan Yahya Sinwar dengan al-Quran sejak kecil menjadikan beliau sentiasa merujuknya, mengajak rakan-rakannya beramal dengannya walaupun ketika berada di bangku universiti. Kefahaman al-Quran telah menjadi motivasi kepada kecemerlangannya di universiti, mendorongnya untuk memimpin dan memberi manfaat kepada masyarakat. Seterusnya menyumbangkan kemahiran, buah fikiran untuk menegakkan agama Allah sehingga hembusan nafas terakhir.

Sebagai seorang mahasiswa, ayuh kita usahakan kefahaman agama yang sempurna dengan memahami sumber agama, al-Quran dan Sunnah, sehingga menjadi seorang pejuang seperti Yahya Sinwar!